BATU KAWAN: Malaysia menyasarkan untuk membangunkan keupayaan sendiri dalam industri pembungkusan termaju semikonduktor dalam tempoh dua tahun lagi menerusi penubuhan Konsortium Pembungkusan Termaju Malaysia (MAPC), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Menurutnya konsortium itu dibentuk menerusi kerjasama lima syarikat tempatan bersama kerajaan melalui pendekatan geran padanan dan pendekatan keseluruhan negara yang menggabungkan kerajaan dan industri bagi membangunkan keupayaan industri pembungkusan termaju.
Beliau berkata lima syarikat dalam konsortium itu adalah SkyeChip Bhd, Inari Technology Sdn Bhd, FusionAP Sdn Bhd, Pentamaster Instrumentation Sdn Bhd dan NSW Automation Sdn Bhd yang mempunyai kelebihan masing-masing dalam industri berkenaan.
Menurutnya kerajaan telah meluluskan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM92 juta untuk tempoh 24 bulan bagi menjayakan program itu manakala pihak industri menyumbang sebanyak RM93 juta, yang secara keseluruhannya berjumlah RM185 juta.
"Objektif utama projek itu adalah untuk membolehkan Malaysia bergerak naik dalam rantaian nilai industri semikonduktor.
“Sebelum ini kita mempunyai asas yang sangat kukuh dalam industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E). Bagaimanapun kita lebih tertumpu kepada aktiviti penyumberan luar pemasangan dan pengujian (OSAT) semikonduktor," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di tiga syarikat itu bersama Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Chang berkata pihaknya berharap projek itu dapat membantu membangunkan keupayaan syarikat tempatan, menarik pelaburan, memberikan pulangan yang baik, peluang pekerjaan dan mengekalkan bakat tempatan di Malaysia.
Beliau berkata langkah itu juga berpotensi mewujudkan situasi yang saling menguntungkan antara kerajaan dan swasta sekiranya sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai dalam tempoh dua tahun.
“Buat masa ini kita tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan pembungkusan termaju. Oleh itu, pihak swasta dan kerajaan bekerjasama untuk membangunkan keupayaan itu. Jika berjaya, manfaat pertama adalah harta intelek (IP) akan berada di Malaysia.
"Kedua, pembungkusan termaju itu adalah sesuatu yang khusus, dan tidak banyak negara mampu melakukannya. Sekiranya Malaysia berjaya membangunkan keupayaan itu, kita akan mendapat banyak peluang perniagaan dan ekonomi akan berkembang lebih pesat," katanya.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi melihat pembangunan industri semikonduktor sebagai antara sektor utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya melibatkan industri berimpak dan bernilai tinggi.
Menurutnya pembangunan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal, sebaliknya perlu melibatkan pelaburan dalam R&D melalui komitmen bersama antara kerajaan dan sektor swasta.
"Kita sedia maklum bahawa rantaian bekalan industri semikonduktor sangat panjang, bermula daripada reka bentuk, pemasangan, pengujian hinggalah kepada penghasilan peranti untuk kegunaan pengguna.
"Apabila bercakap mengenai pembangunan negara, ini bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan infrastruktur fizikal semata-mata. Disebabkan itu melalui MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), Kementerian Ekonomi berpandangan bahawa pelaburan pembangunan juga perlu melibatkan R&D," katanya.
Dalam pada itu, Sim berkata Malaysia sememangnya terkenal dalam bidang OSAT, namun teknologi pembungkusan negara masih berada pada tahap tradisional sejak lebih 50 tahun lepas.
Menurutnya MITI menyokong konsortium MAPC bagi memastikan syarikat tempatan memiliki IP sendiri dan tidak hanya bergantung kepada syarikat multinasional.
“Negara kini adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, dan pembangunan pembungkusan termaju akan memperkukuh ekosistem serta IP negara ketika dunia memasuki kitaran super AI (kecerdasan buatan).
“Jika berjaya, Malaysia akan menjadi lokasi penting bagi proses pembungkusan, pengujian dan eksport cip semikonduktor dunia,” katanya sambil memaklumkan bahawa projek itu juga adalah sebahagian daripada Strategi Semikonduktor Nasional yang memberi fokus kepada pembungkusan termaju.
-- BERNAMA