Ringkasan AI
- Kerajaan akan bincang isu buli siber dengan penyedia platform media sosial di Singapura pada Disember untuk memperkukuh usaha menangani ancaman tersebut.
- SKMM telah menurunkan 13,883 kandungan deepfake dan membuka 61 kertas siasatan berkaitan penyalahgunaan AI dari Januari hingga Oktober 2024.
- Kerajaan menegaskan tiada kompromi terhadap penyalahgunaan AI, dengan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membawa isu buli siber ke peringkat perbincangan bersama penyedia platform media sosial di Singapura pada pertengahan Disember ini bagi memperkukuh usaha menangani ancaman berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius susulan kematian pasangan suami isteri yang mengusahakan syarikat fotografi Phoenix Pixels, dipercayai berkait dengan tekanan akibat buli siber.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang amat mendukacitakan, apatah lagi isu sama pernah dikaitkan dengan kematian pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha.
“Memang ini satu isu amat menyedihkan,” katanya ketika menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) di Dewan Rakyat mengenai peningkatan gejala buli siber.
Fahmi berkata, penyedia platform media sosial tidak boleh melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada sistem teknologi dalam menangani kandungan berunsur gangguan dan buli.
Sebaliknya, syarikat terbabit perlu meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan lebih pantas terhadap perlakuan buli siber, termasuk yang berlaku ketika sesi penstriman langsung.
Katanya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menapis kandungan tidak seharusnya menjadi satu-satunya pendekatan kerana pemantauan dan tindakan manusia turut diperlukan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 13,883 kandungan deepfake berjaya diturunkan oleh penyedia platform digital hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Oktober lalu.
Fahmi berkata, daripada keseluruhan kandungan yang diturunkan itu, sebanyak 1,178 daripadanya membabitkan pemimpin politik.
Beliau turut memaklumkan SKMM membuka 61 kertas siasatan berhubung penyalahgunaan teknologi AI mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam tempoh berkenaan.
Daripada jumlah itu, 10 kes telah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan, manakala tujuh kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM755,000.
Selain itu, sebanyak 17 surat amaran turut dikeluarkan terhadap pihak yang terlibat dalam kesalahan berkenaan.
Menurutnya, enam daripada 10 kes yang didakwa telah selesai diputuskan mahkamah dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM19,500.
Empat lagi kes masih dalam proses perbicaraan dan menunggu keputusan mahkamah.
Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan AI, khususnya bagi menghasilkan kandungan deepfake, menyamar sebagai individu lain serta menyebarkan maklumat palsu.
Beliau berkata, teknologi berkenaan semakin berisiko apabila dimanipulasi untuk memperdaya orang ramai, melakukan penipuan dan mempengaruhi persepsi masyarakat melalui penyebaran maklumat tidak benar.
Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada masa sama, kerajaan turut mempunyai mekanisme kawal selia terhadap kandungan memudaratkan menerusi peruntukan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.