Sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia, Kementerian Kesihatan mensasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok kepada 15 peratus menjelang 2025 dan kepada kurang lima peratus pada 2045, sejajar dengan sasaran menjadikan negara bebas asap rokok.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, pihaknya telah menggiatkan usaha pemerkasaan dan promosi kesihatan secara menyeluruh bagi membantu golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat itu.

Katanya kerajaan melakukan pelbagai inisiatif seperti menaikkan cukai eksais rokok, meletakkan amaran kesihatan bergambar pada kotak rokok dan larangan merokok di hampir kesemua tempat awam untuk memerangi tabiat buruk itu .

"Saya harap rakyat ambil mesej ini secara serius dan kukuh dlm pendirian dalam bekerjasama untuk lahirkan negara yang bebas perokok," katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2017 di sini, pada Selasa.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada setiap 31 Mei di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu produk tembakau yang memudaratkan kesihatan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan bahawa 22.8 peratus yang bersamaan lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok, dengan majoritinya adalah lelaki iaitu 43 peratus merupakan kumpulan masih produktif dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.