MUAR: Malaysia dan Singapura menyasarkan pelancaran sistem imigresen digital baharu serta laluan tambahan menjelang Januari depan, bagi menangani isu kesesakan di pintu sempadan secara komprehensif.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif tersebut, akan dilancarkan bersama dengan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong, sebaik sahaja segala persiapan teknikal dan prasarana dimuktamadkan sepenuhnya.
Beliau menegaskan penjelasan projek tersebut bukan merupakan satu bentuk manifesto atau janji politik baharu, memandangkan sebarang pengumuman atau janji baharu ketika tempoh kempen pilihan raya, adalah menyalahi undang-undang.
“Insya-Allah saya bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan melancarkan bila telah lengkap dan siap, mungkin kita sasarkan Januari, itu akan menyelesaikan banyak masalah termasuk kecanggihan sistem digital baru untuk imigresen, memudahkan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab mengenai isu kesesakan di Tambak Johor pada program Temu Anwar Johor Ke Depan di sebuah restoran di sini, hari ini.
Anwar berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen sedang mempergiat usaha bagi mempercepat proses pemeriksaan di pintu masuk negara.
“Kementerian Dalam Negeri, terutama Imigresen, akan memudahkan laluan itu, dan bila sistem itu siap, termasuk perjalanan baru dari Singapura ke Johor Bahru,” kata Perdana Menteri.
Walaupun pemantauan semasa menunjukkan aliran di pintu sempadan kini jauh lebih efisien berbanding tiga tahun lepas, Anwar berkata kerajaan tetap serius untuk memastikan kecekapan imigresen terus dipertingkat dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggariskan rancangan jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan tenaga kerja tempatan di seberang tambak, dengan memperkasakan ekosistem industri berteknologi tinggi di dalam negara.
“Kita mahu selesaikan masalah ini, sebab anak-anak kita yang bekerja di Johor terpaksa beratur berjam-jam. (Mereka) tidak boleh dibebankan (kerana) hendak nafkah, kita kena cari jalan.
“Kita kena cari jalan sama ada (menggunakan) kecerdasan buatan (AI), pusat data, teknologi moden, teknologi baharu supaya anak-anak kita boleh kerja di sini dengan pendapatan yang baik, tidak perlu seberang ke sana,” kata Anwar.
Selain itu, kepentingan kawalan kos hartanah menerusi penyediaan perumahan mampu milik seperti projek Rumah MADANI juga penting, bagi memastikan golongan muda di Johor Bahru dapat memiliki kediaman sendiri seiring dengan pembangunan pesat negeri.
-- BERNAMA