BANGKOK: Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan Thailand bagi memperkukuh keselamatan sempadan dan memajukan proses dialog damai di wilayah sempadan selatan, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow pada Isnin.
Sihasak berkata Malaysia menganggap keselamatan sempadan Thailand sebagai kepentingan keselamatannya sendiri dan bersedia memberikan kerjasama penuh dalam menangani cabaran keselamatan di sepanjang sempadan bersama.
"Mereka (Malaysia) sendiri menekankan bahawa perkara ini penting. Ini adalah perkara penting sejak awal lagi. Thailand ialah sekutu dan jiran yang penting. Keselamatan Thailand dan keselamatan sempadannya adalah demi kepentingan Malaysia.
"Oleh itu, tidak perlu bimbang. Pihak Malaysia sedia bekerjasama sepenuhnya dengan Thailand," katanya dalam temu bual dengan media Thailand yang dikongsikan Kementerian Luar Thailand pada Isnin.
Sihasak, yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia dari 6 Sept, sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.
Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama, khususnya dalam perkongsian risikan, rondaan bersama dan penyelarasan antara agensi keselamatan kedua-dua negara, sambil menekankan bahawa risikan yang tepat dan tepat pada waktunya penting bagi menyokong proses membuat keputusan serta memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan dadah dan kegiatan jenayah rentas sempadan lain.
"Kita perlu meningkatkan risikan kita dan saya percaya pihak Malaysia juga mempunyai risikan mereka sendiri. Ini boleh membantu menjadikan risikan kita lebih tepat dan mereka bersedia untuk bekerjasama," katanya.
Sihasak berkata Thailand dan Malaysia juga akan menyelaraskan rancangan bagi pembinaan pagar keselamatan di sepanjang sempadan bagi mengelakkan pertindihan serta memfokuskan sumber di kawasan sensitif dan berisiko tinggi.
Pada 22 Ogos, beberapa serangan arson dilaporkan berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala yang menyasarkan bangunan kerajaan, kedai serbaneka, premis perniagaan, kenderaan dan tiang utiliti. Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera di Narathiwat.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Mengenai dialog damai selatan, Sihasak berkata peranan Malaysia sebagai fasilitator kekal penting, manakala pemilihan individu yang akan bertindak sebagai fasilitator itu akhirnya merupakan keputusan Malaysia.
Beliau berkata Thailand mahukan fasilitator yang memahami situasi dan sesuai untuk memainkan peranan berkenaan, sambil menegaskan bahawa proses itu memerlukan sokongan agensi berkaitan Malaysia.
"Kami mahu proses dialog mencapai kemajuan. Namun, jika keadaan kekal seperti ini dengan keganasan terus berlaku, sukar untuk mengadakan rundingan," katanya.
Sihasak berkata kedua-dua pihak oleh itu perlu mewujudkan persekitaran yang aman bagi membolehkan proses dialog bergerak ke hadapan.
Beliau juga berkata Malaysia menegaskan semula bahawa negara itu tidak mempunyai dasar membenarkan wilayahnya digunakan oleh kumpulan yang berusaha menjejaskan keselamatan Thailand.
Sihasak berkata keselamatan mampan di wilayah sempadan selatan turut bergantung kepada usaha menambah baik mata pencarian penduduk dan membangunkan kawasan sempadan.
Beliau berkata kedua-dua pihak juga akan menyelaraskan projek infrastruktur dan pembangunan, termasuk jalan raya, landasan kereta api dan jambatan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta memastikan inisiatif mereka saling melengkapi dan bukannya bertindih.
-- BERNAMA