JITRA: Kerajaan bercadang untuk meneroka penanaman padi air masin dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran beras di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya sudah membuat perbincangan awal bersama pakar berkaitan di China bagi mendapatkan pandangan dan penggunaan teknologi yang bersesuaian.

"Saya telah bertemu dengan profesor di China, terdapat tanaman padi air masin di sana. Kajian selama empat tahun... lapan musim baru mereka berjaya dapat benih yang sesuai.

"Di peringkat awal, dalam perbincangan... di kawasan di tepi-tepi laut yang air naik itu tidak dibiarkan, boleh digunakan di masa akan datang (bagi penanaman padi air masin) dengan teknologi dan pandangan pakar dari luar," katanya.

Beliau berkata ketika demikian pada majlis sesi libat urus bersama Usahawan Harumanis Kodiang di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3, di Kodiang pada Ahad.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca hasil padi di Kedah lebih rendah berbanding di Sekinchan, Selangor,  Mohamad menjelaskan ia berpunca daripada pengairan, pembajaan dan penjagaan.

Beliau berkata pesawah di Sekinchan menjadikan kerja mereka di sawah sebagai kerja hakiki bukannya sambilan.

"Di Kedah ini kita nak ke arah itu. Kalau boleh petani cantumkan (usaha) skala besar supaya kita boleh menjaga sawah dengan lebih baik. Tak boleh salahkan petani juga sebab sistem pengairan itu penting, kita tak boleh bertahan setakat lima tan sehektar, di Sekinchan mereka dapat lapan hingga sepuluh tan sehektar," katanya.

Mohamad berkata tanaman padi menerusi skim berskala besar seperti di Sekinchan itu boleh dipraktikkan pesawah di Kedah sebagai usaha menghasilkan pengeluaran padi yang banyak dengan bantuan dan kerjasama pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS)