WASHINGTON: Pengasas Microsoft dan bilionair, Bill Gates memberitahu sebuah jawatankuasa Kongres pada Rabu bahawa beliau tidak pernah mempunyai hubungan peribadi dengan Jeffrey Epstein dan memutuskan hubungan dengan pesalah seks yang disabitkan itu apabila gagal memenuhi usaha pengumpulan dana untuk aktiviti filantropi pengasas Microsoft tersebut.
Gates hadir secara sukarela di Washington dalam sesi pendengaran tertutup bersama Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan yang menyiasat Epstein dan dilaporkan menamakan beberapa individu berpengaruh yang didekati Epstein bagi tujuan pengumpulan dana.
Beliau turut mendedahkan, isu kecurangan dalam perkahwinannya, dengan mendakwa Epstein menggunakan perkara itu sebagai tekanan terhadap dirinya.
Ahli panel berkata, keterangan itu menunjukkan Epstein adalah seorang “pengumpul rakan” yang menjalin hubungan dengan individu berprofil tinggi seperti Gates untuk “memperlihatkan kuasa dan pengaruh.”
Dalam kenyataan pembukaan, Gates menegaskan, beliau tidak pernah menyaksikan Epstein terlibat dalam kegiatan jenayah berterusan, mahupun mempunyai sebarang petunjuk berkaitannya.
“Saya tidak pernah ke pulaunya, ladangnya atau kediamannya di Florida. Saya tidak pernah memangsakan sesiapa,” katanya.
“Walaupun dia mungkin cuba menjalin hubungan peribadi, saya tidak pernah berminat dan tidak pernah membalasnya.”
Beliau turut menyatakan harapan agar mangsa jenayah Epstein memperoleh keadilan yang sewajarnya.
Gates menyertai bekas Presiden Bill Clinton; bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton, Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan beberapa tokoh lain yang turut disoal siasat jawatankuasa dwipartisan itu.
Epstein ditemui mati akibat bunuh diri di dalam sel penjara pada 2019 ketika menunggu perbicaraan, manakala sekutunya, Ghislaine Maxwell, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun.
Maxwell tampil secara maya di hadapan jawatankuasa itu pada Februari, namun menggunakan haknya untuk tidak menjawab soalan.
Apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menerbitkan jutaan dokumen berkaitan siasatan jenayah Epstein pada Januari, nama Gates disebut ribuan kali dan beliau turut muncul dalam beberapa gambar bersama Epstein.
Beliau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku serta pengetahuan mengenai aktiviti haram Epstein.
Dalam kenyataan pembukaan, Gates mengulangi kenyataan temu bual awal tahun ini bahawa beliau melakukan “pertimbangan yang lemah” apabila bertemu Epstein dan merupakan antara ramai individu yang menyesal pernah mengenalinya.
Salah satu gambar yang didedahkan DOJ menunjukkan Gates berhampiran sebuah pesawat dengan juruterbang Epstein berada di lokasi berkenaan. Gates mengakui pernah menaiki jet peribadi milik Epstein.
Dokumen lain termasuk draf e-mel yang dikaitkan dengan Epstein, mengandungi beberapa dakwaan belum disahkan berkaitan kehidupan peribadi Gates.
Antaranya tuduhan bahawa Epstein mengatur “pertemuan sulit” dengan wanita berkahwin untuk Gates, serta dakwaan beliau dijangkiti penyakit kelamin daripada apa yang digelar Epstein sebagai “wanita Rusia”, selain mendakwa Epstein membantu mendapatkan ubat untuk merawatnya.
E-mel berasingan turut mendakwa Gates cuba secara “senyap” memberi antibiotik kepada isterinya ketika itu, Melinda, bagi melindunginya daripada jangkitan sama.
Gates menafikan dakwaan tersebut namun mengakui pernah mempunyai hubungan sulit dengan dua wanita Rusia.
“Epstein cuba menggunakan maklumat mengenai kecurangan saya – selain pelbagai pembohongan lain – untuk menekan saya supaya kembali berurusan dengannya,” kata Gates.
Hubungan antara kedua-duanya bermula pada 2011, tiga tahun selepas Epstein disabitkan di Florida atas dua pertuduhan pelacuran, dan berkembang apabila mereka berbincang mengenai potensi pengumpulan dana untuk inisiatif kesihatan global Gates.
Gates menegaskan sejak awal bahawa Epstein tidak akan memainkan sebarang peranan dalam kerja yayasannya atau menerima sebarang bayaran.
Ahli Demokrat tertinggi jawatankuasa itu, Robert Garcia berkata, Gates menyedari Epstein pernah disabitkan kesalahan jenayah serius namun masih berinteraksi dengannya bagi mendapatkan dana untuk yayasannya.
Gates menjelaskan, pada 2014, selepas Epstein mengumpulkan sekumpulan individu yang didakwa sebagai bakal penderma, beliau menyedari usaha tersebut tidak membuahkan hasil.
“Ketika itu, saya menyimpulkan Epstein tidak akan menunaikan janjinya. Saya memberitahunya bahawa kami tidak akan meneruskan apa-apa urusan dan menghentikan segala komunikasi serta pertemuan,” katanya.
Ahli Demokrat menyatakan Gates memberikan nama individu yang dikumpulkan Epstein, namun tidak didedahkan kepada umum.
Sementara itu, ahli Republikan Tim Burchett berkata soalan yang diajukan sangat intensif dan jawapan Gates dilihat berhati-hati.
“Jelas bagi saya Epstein bertindak sebagai pengumpul kenalan. Dia gemar dikelilingi individu berpengaruh, bergambar dengan mereka dan bergaul rapat – itulah caranya menarik mereka,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Gates kelihatan “lesu untuk seseorang yang bernilai berbilion dolar.”
Garcia dan beberapa ahli Demokrat lain berkata, Gates menafikan pernah diperkenalkan kepada wanita, gadis atau individu bawah umur oleh Epstein.
“Sebahagian jawapannya menunjukkan ramai lelaki yang berurusan dengan Jeffrey Epstein hanya melihat apa yang mereka mahu lihat,” kata ahli Demokrat Emily Randall.
Gates turut memaklumkan kakitangan yayasannya pada Februari bahawa beliau mengetahui mengenai sekatan perjalanan selama “18 bulan” yang dikenakan ke atas Epstein, namun tidak menyemak latar belakangnya secara menyeluruh.
Penggubal undang-undang turut mempersoalkan sejauh mana munasabah seorang tokoh besar dalam dunia maklumat seperti Gates tidak mengambil tahu secara mendalam latar belakang Epstein, termasuk fakta yang sudah tersedia dalam domain awam. - Agensi