KUALA LUMPUR: Program mendekati masyarakat seperti Ziarah Kasih sentiasa mengingatkan bahawa masih ada individu yang berdepan dengan pelbagai cabaran hidup dan memerlukan perhatian, sokongan serta keprihatinan masyarakat di sebalik kesibukan kehidupan harian, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, setiap ziarah yang dilaksanakan membuka ruang untuk mendekati golongan memerlukan selain memahami realiti kehidupan yang dihadapi mereka.
“Hari ini saya sempat lawat beberapa warga di Kampung Pasir Baru dan Taman Seri Sentosa dalam program Ziarah Kasih. Antara yang sempat saya santuni ialah Md Fozi Abdullah, Chan Peng Keong dan Evangelin Miranda.
“Semoga sedikit kehadiran dan perhatian ini dapat membawa makna, selain mengeratkan lagi hubungan sesama kita,” katanya dalam hantaran pada Rabu.
Beliau, dalam pada itu, turut mendoakan agar mereka terus diberi kekuatan, dipermudah segala urusan dan dikurniakan kesihatan yang lebih baik.
-- BERNAMA