MALAYSIA
Malaysia tuan rumah AMME ke-18 pada September

Menurut NRES, penganjuran AMME kali ini turut menekankan aspek kelestarian selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Inisiatif ASEAN Lestari (GPPIAL) yang dikeluarkan oleh NRES. - Gambar Instagram NRES
PUTRAJAYA: Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) akan berlangsung pada 2 hingga 4 Sept ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Kedah.
Penganjuran AMME-18 seiring dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dan diadakan bersekali dengan Mesyuarat Ke-20 Committee (COM) Under the Conference of the Parties dan Mesyuarat Ke-20 Conference of the Parties (COP) bagi Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan mesyuarat itu bertujuan menyelaras tindakan kolektif negara anggota ASEAN untuk memperkukuh dasar, strategi dan kerjasama serantau merangkumi perlindungan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber semula jadi secara mampan dan ketahanan terhadap perubahan iklim.
"Sepanjang tiga hari mesyuarat berlangsung, empat input utama akan dihasilkan iaitu Kenyataan Bersama ASEAN Bagi Persidangan ke-30 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP30), kemajuan dalam penubuhan Pusat ASEAN untuk Perubahan Iklim (ACCC), pembangunan Pelan Strategik ASEAN Pasca-2025 mengenai Alam Sekitar dan Pelan Tindakan Strategik Perubahan Iklim ASEAN (ACCSAP)."Mesyuarat juga akan menerima laporan berkaitan penyertaan ASEAN melalui Pavilion ASEAN di UNFCCC COP30 dan juga cadangan penubuhan Kumpulan Perikatan Asia Tenggara (SEA) dalam proses rundingan iklim global," menurut NRES dalam kenyataan hari ini.
NRES memaklumkan, sesi ASEAN bersama Rakan Dialog iaitu Kesatuan Eropah (EU), China, Korea dan Jepun pula memberi fokus kepada kerjasama dalam bidang alam sekitar dan perubahan iklim serta berkongsi teknologi dan amalan terbaik dalam menyelaras usaha bagi mencapai pembangunan mampan dan kelestarian alam di rantau ASEAN.
Beberapa program sampingan seperti Majlis Pengumuman Inisiatif Perdana Dibiayai oleh EU Mengenai Biodiversiti dan Perubahan Iklim di ASEAN, sesi intervensi UNICEF berkaitan Sidang Kemuncak Iklim Kanak-Kanak dan Belia ASEAN 2025 serta Sesi Dialog antara Presiden UNFCCC COP30 Andre Aranha Correa do Lago dengan Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN juga akan diadakan.
Menurut NRES, penganjuran AMME kali ini turut menekankan aspek kelestarian selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Inisiatif ASEAN Lestari (GPPIAL) yang dikeluarkan oleh NRES.
"Ia memberi fokus kepada pengurangan jejak karbon, penggunaan sumber yang cekap dan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.
"Malaysia berharap agar inisiatif ini akan membantu mencapai visi ASEAN yang lebih lestari dan inklusif menjelang 2030 selaras dengan Rangka Kerja Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2025 dan Rangka Kerja Alam Sekitar ASEAN Environmental," menurut kenyataan itu.
Sebagai tuan rumah, Malaysia berpeluang mempamerkan inisiatif dan pencapaiannya dalam bidang alam sekitar, selain dapat mengukuhkan jaringan diplomasi alam sekitar dengan negara serantau.
Penganjuran AMME-18 juga mencerminkan pendekatan proaktif dan strategik Malaysia terhadap tadbir urus alam sekitar, mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam mempromosikan komuniti ASEAN yang lestari dan berdaya tahan.
Lebih 200 delegasi daripada 10 negara ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog dari EU, China, Korea dan Jepun dijangka hadir mesyuarat berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami