Malaysia tuan rumah Forum Kemahiran Global 2025

Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 selama dua hari bermula 22 hingga 23 Okt depan di ibu negara.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 selama dua hari bermula 22 hingga 23 Okt depan di ibu negara.
Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dalam kenyataan memaklumkan, GSF 2025 bakal menghimpunkan ketua kerajaan, menteri, penggubal dasar, majikan, agensi tenaga kerja, penyedia latihan, akademia serta rakan pembangunan antarabangsa.
"Perbincangan akan menjurus kepada isu strategik termasuk transformasi digital, ekonomi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan industri baharu yang membentuk masa depan pekerjaan, selain menumpukan kepada peranan majikan dan industri dalam membentuk hala tuju pembangunan tenaga kerja.
"Ia juga menekankan bagaimana sektor swasta mampu memacu keutamaan latihan, memperkenalkan inovasi berskala besar serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan," menurut kenyataan itu.HRD Corp memaklumkan, GSF 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang dipacu melalui perbadanan itu sebagai platform untuk merapatkan jurang kemahiran, menggalakkan mobiliti bakat serta memperkukuh kerjasama awam-swasta di rantau ASEAN.
"GSF 2025 dijangka menjadi penanda aras penting bukan sahaja bagi ASEAN tetapi juga komuniti global dalam mentakrifkan semula peranan pembangunan kemahiran bagi memacu daya saing, ketahanan dan kemakmuran inklusif," katanya.
Bertemakan 'Peranan Sektor Swasta dalam Pembangunan Kemahiran: Mendorong Inovasi dan Impak', forum anjuran bersama HRD Corp dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Petubuhan Majikan Antarabangsa serta disokong Kementerian Sumber Manusia itu, dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami