Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri menerima peruntukan RM22 bilion menerusi Belanjawan 2027 untuk memperkukuh keselamatan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.
- Peruntukan ini merangkumi kebajikan, pengukuhan aset keselamatan, kawalan sempadan, serta penggunaan teknologi bagi membanteras jenayah.
- Kerajaan menegaskan keutamaan kebajikan rakyat, keamanan negara dan pengukuhan ekonomi melalui pelaksanaan belanjawan yang cekap dan berkesan.
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan itu merangkumi aspek kebajikan, pengukuhan aset keselamatan, peningkatan keupayaan kawalan sempadan serta penggunaan teknologi bagi membanteras jenayah.
Beliau berkata, langkah berkenaan menegaskan pendirian kerajaan bahawa keselamatan rakyat dan kedaulatan negara adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
"Negara yang aman bukan sahaja menjamin ketenteraman rakyat, malah mewujudkan persekitaran kondusif untuk perniagaan, pelaburan dan pelancongan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Saifuddin Nasution berkata, kemajuan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat, termasuk menerusi pelaburan dalam kemudahan kesihatan, bantuan pengangkutan awam, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.
“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar jumlah peruntukan, tetapi sejauh mana ia membantu meringankan beban kehidupan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia,” katanya lagi.
Saifuddin Nasution berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang dibentangkan turut memberi asas keyakinan terhadap kedudukan ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya, pencapaian itu perlu diterjemahkan kepada pewujudan lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan serta kos sara hidup yang lebih terkawal.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 membawa mesej jelas bahawa kebajikan rakyat perlu dibela, keamanan negara dipelihara dan ekonomi terus diperkukuh.
“Ketiga-tiga tonggak ini saling melengkapi. Kebajikan tanpa kestabilan sukar dipertahankan, keamanan tanpa kemakmuran tidak mencukupi, manakala pertumbuhan ekonomi tanpa manfaat yang dirasai rakyat belum mencapai matlamat sebenar pembangunan.
“Cabaran menanti ialah memastikan setiap peruntukan dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan supaya hasilnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan RM22 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara.