KUALA LUMPUR: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia menyerahkan memorandum mengandungi 10 tuntutan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS), antaranya menggesa penghentian pemindahan senjata kepada Israel dan akses tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Memorandum itu diserahkan wakil gabungan berkenaan kepada seorang pegawai Kedutaan AS di sini pada Jumaat.
Terdahulu, kumpulan yang disertai hampir 1,000 orang itu berarak ke Kedutaan AS selepas menunaikan solat Jumaat di bangunan Tabung Haji.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga jurucakap gabungan Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata antara tuntutan dikemukakan ialah mengenakan syarat ketat selaras dengan undang-undang antarabangsa terhadap bantuan ketenteraan AS.
"Hentikan pemindahan senjata sekiranya terdapat risiko besar ia digunakan secara tidak sah," katanya ketika membacakan tuntutan pada perhimpunan itu.
Tuntutan lain termasuk menjamin akses tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza, melindungi hospital, petugas perubatan dan pekerja kemanusiaan, menyokong siasatan bebas terhadap dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta menentang pemindahan secara paksa rakyat Palestin dari Gaza.
Memorandum itu turut menggesa supaya kewibawaan mahkamah antarabangsa dihormati, amalan dwistandard dalam diplomasi dihentikan, hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri disokong serta mekanisme kemanusiaan antarabangsa diwujudkan bagi pembinaan semula Gaza.
Ahmad Fahmi berkata bantuan kemanusiaan masih tidak mencukupi, khususnya untuk memenuhi keperluan pemakanan rakyat Palestin serta menyediakan bahan binaan bagi membina semula infrastruktur yang rosak.
Beliau berkata sekurang-kurangnya 16 Ahli Parlimen serta lebih 100 NGO dan rakan gabungan menyatakan sokongan terhadap memorandum itu.
Antara pertubuhan yang menyertai perhimpunan itu ialah ABIM, Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Pemuda Amanah Nasional, ALPHA, HALUAN serta Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin.
Perhimpunan bertemakan "Stand Against Genocide – Gaza Tidak Akan Dilupakan" itu merupakan sebahagian daripada Minggu Memperingati Genosid Gaza yang berlangsung dari 5 hingga 11 Okt bagi memperingati tiga tahun sejak konflik Gaza memuncak pada 7 Okt 2023.
-- BERNAMA