KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) ke-27 yang menghimpunkan ulama, cendekiawan dan pakar dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 16 hingga 20 Nov ini di Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata persidangan bertemakan Mensejahterakan Masyarakat dan Memperkasakan Nilai Madani itu dianjurkan dengan kerjasama IIFA bagi menghimpunkan kepakaran dunia Islam untuk meneliti cabaran semasa, serta merumuskan penyelesaian yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan umat.
“Antara isu utama yang akan diberi perhatian ialah kecerdasan buatan (AI), penyuntingan genetik dan teknologi DNA, halal, etika penjagaan kesihatan dan perubatan, cabaran sosial dan etika, komunikasi serta media dalam era digital dan kewangan sosial Islam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata perbincangan akan berasaskan sumber dan prinsip syariah dengan mengambil kira realiti semasa yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah, Ijtihad Jama'i dan Wasatiyyah.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, Zulkifli berkata persidangan itu turut mengetengahkan Fiqh Ta'ayush atau fiqh kehidupan bersama sebagai asas membina keharmonian, saling menghormati dan kerukunan hidup.
"Pengembangan pemikiran ini amat penting bagi membentuk masyarakat yang berteraskan ilmu, adab, keadilan dan kemaslahatan, di samping memperkukuh kefahaman yang dapat membendung pemikiran ekstrem dan melampau," katanya.
Selain itu, penganjuran persidangan berkenaan turut memperkukuh peranan Malaysia dalam jaringan keilmuan dan kepakaran dunia Islam, selain memberikan peluang negara berkongsi pengalaman dalam pembangunan institusi Islam serta pengurusan masyarakat majmuk.
"Sebagai sebuah kerajaan yang menjunjung nilai ilmu dan ketamadunan, penganjuran ini bukan sekadar sebuah persidangan, tetapi pelaburan terhadap masa depan ilmu serta umat bagi menghasilkan gagasan yang memberikan manfaat kepada manusia," katanya.
-- BERNAMA