SINGAPURA: Malaysia sedang menguji pendekatan baharu yang boleh mempercepat akses kepada ubat-ubatan dengan merujuk penilaian yang dijalankan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, HSA memaklumkan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Malaysia telah melancarkan projek rintis pada 1 Sept untuk merujuk penilaian HSA dalam semakan ubat-ubatannya.
Menurut HSA, projek rintis itu akan menguji bagaimana kebergantungan kawal selia boleh mengurangkan kerja penilaian yang bertindih dan menyokong akses kepada ubat-ubatan dengan lebih cepat, di samping mengekalkan piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan setiap pihak berkuasa.
“Pelaksanaan yang berjaya boleh menjadikan HSA sebagai agensi rujukan bagi NPRA,” menurut kenyataan itu.
Selain Malaysia, HSA turut mengumumkan perluasan kerjasama kawal selia dengan rakan kongsi di Afrika dan Arab Saudi bagi mengurangkan pertindihan semakan serta menyokong akses lebih cepat kepada produk kesihatan yang selamat dan terjamin kualitinya.
-- BERNAMA