NANNING: Penganjuran Ekspo China-ASEAN ke-20 (CAEXPO 2023) dapat menjadi pemangkin kepada perniagaan Malaysia untuk berkembang ke peringkat antarabangsa, selain menyuburkan kerjasama perdagangan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptamanya sempena ekspo tersebut berkata, CAEXPO 2023 memberi gambaran tentang kerjasama strategik yang berterusan negara-negara ASEAN dengan China, di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA).

Katanya, Rundingan Penambahbaikan ACFTA 3.0 yang sedang berjalan amat penting bagi pemulihan pasca-pandemik COVID-19, meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan China, serta memastikan pergerakan barangan dan perkhidmatan yang lancar.

“Kemasukan rundingan yang termasuk bidang pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital, teknologi hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan, persaingan, perlindungan pengguna dan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) – memastikan perjanjian itu kekal relevan dan berwawasan.

“Malaysia akan terus menyokong usaha ASEAN dan China untuk memuktamadkan Rundingan Penambahbaikan ACFTA 3.0 menjelang tahun 2024,” katanya lagi.

Anwar tiba di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, pada jam 3.54 pagi Ahad, bagi menghadiri CAEXPO 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) yang berlangsung dari 16 hingga 19 Sept.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Li Qiang dan kedua-dua pemimpin akan membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Li.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, Belt and Road Initiative oleh China amat penting dalam mengukuhkan hubungan antara rantau ASEAN dengan negara itu, selain kesemua negara lain yang terlibat dalam BRI.

“Malaysia, sebagai antara penyokong awal, telah membayangkan inisiatif ini sebagai satu laluan ke arah kesalinghubungan dan peluang pertumbuhan baharu merentasi rantau ASEAN, Asia Pasifik, Afrika, serta Eropah Timur dan Eropah Tengah.

“Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi China, khususnya dalam memastikan pertumbuhan ekonomi di rantau ini dapat diterjemah menjadi pengagihan kemakmuran bagi rakyat,” katanya lagi.

Berucap lanjut, Anwar berkata, Malaysia yakin hubungan perdagangan dan ekonomi dengan China boleh menjadi lebih kukuh dengan syarat, ia harus melalui pelbagai inisiatif yang strategik.

“Dalam kita meneroka perjalanan mengenai penambahbaikan kerjasama, marilah kita merebut peluang perniagaan yang luas daripada CAEXPO 2023, bagi melihat dan memupuk hubungan baharu serta memacu perkembangan merentasi rantau ini.

“Mari kita bersama-sama membawa hubungan ekonomi ASEAN-China, dan Malaysia-China ke peringkat yang lebih tinggi, dan menumpukan usaha bersama kita ke arah masa depan yang lebih cerah, mampan, dan makmur,” tambahnya.