Ronnie Liu dipersoalkan terhadap kenyataannya yang begitu yakin Datuk Seri Mohamed Azmin tidak berpeluang menjadi perdana menteri berbanding Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memberitahu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu seharusnya sedar ketentuan Tuhan yang boleh mengizinkan sesiapa sahaja termasuk Timbalan Presiden PKR itu untuk menjadi perdana menteri.

“Dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Senario politik boleh berubah dari masa ke masa. Ini adalah hakikat berpolitik.

“Kadangkala kita boleh merancang secara terbaik termasuk mungkin dalam bidang politik tetapi segalanya juga bergantung kepada rezeki.

“Bagi orang Islam khususnya, segala ketentuan terletak kepada keizinan Allah akhirnya. Kita mesti berpegang kepada hukum qada dan qadar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

BACA: Itu urusan dia, kata Dr Mahathir ditanya ketidakhadiran Azmin

BACA:
PKR terus beri sokongan padu kepada kepimpinan Tun Mahathir - Anwar

Ronnie dalam sebuah portal dilaporkan berkata, Mohamed Azmin sepatutnya sedar bahawa beliau tidak berpeluang untuk menjadi perdana menteri berbanding Anwar.

Jelas Ronnie, majoriti dalam PKR, serta Amanah dan DAP menyokong Anwar sebagai perdana menteri yang akan datang.

Tambahnya, Anwar juga telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai individu menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun Mohamed Azmin dispekulasikan sebagai pemimpin kesayangan perdana menteri.

Dalam pada itu, Khairuddin juga berkata tidak faham dengan sesetengah individu yang gila kuasa dan hendak berebut kedudukan.

“Dalam perjuangan, sekiranya kita ikhlas hendak berjuang untuk kepentingan bangsa dan negara; tanpa jawatan pun kita boleh berjuang. Tidak perlu hendak berebut kuasa.

“Ronnie mungkin ingat Mohamed Azmin tidak cukup sokongan tetapi kadangkala sokongan boleh berubah-ubah dalam politik. Adalah terlalu awal untuk Ronnie mengungkapkan kata-kata tersebut.

“Jangan takut kepada bayang-bayang sendiri kerana Mohamed Azmin adalah seorang tokoh politik yang amat setia kepada ketuanya,” ujarnya.

Jelasnya, Mohamed Azmin bukan manusia jenis gila kuasa dan bersikap suka tikam belakang.

“Jangan terlalu risau dan takut kepada Mohamed Azmin kerana dia adalah seorang tokoh politik yang matang yang tidak pernah bersifat gopoh-gapah untuk berpaut pada kuasa.

“Mohamed Azmin adalah seorang pekerja yang terbaik yang sentiasa fokus pada tanggungjawab serta memikul amanah rakyat tanpa ada sebarang agenda untuk kepentingan diri sendiri,” jelasnya.

Ronnie turut dilaporkan berkata, Dr Mahathir harus melenyapkan sebarang ketidakpastian dengan menetapkan garis masa untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.