Manfaat digitalisasi perlu inklusif, dirasai semua - Gobind

Gobind (tengah) hadir pada pelancaran lokasi pertama MD Nexus di Menara Merdeka 118, di ibu negara pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Transformasi digital Malaysia perlu bersifat inklusif bagi memastikan manfaat teknologi dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, agenda digital nasional menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, dengan matlamat meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, dan menarik pelaburan berkualiti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Kita memastikan pendigitalan memberi manfaat kepada sektor perniagaan dan rakyat. Bagi perniagaan, kita telah memperkenalkan langkah seperti potongan cukai 50 peratus untuk latihan AI dan keselamatan siber bagi membantu PKS membina daya tahan digital.
"Kita memberi tumpuan kepada AI yang berpusatkan manusia, di mana teknologi digunakan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih mudah diakses dan cekap, memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam peralihan ini.
"Akhirnya, matlamat kita adalah untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan kesejahteraan setiap rakyat," katanya dalam pelancaran lokasi pertama MD Nexus di Menara Merdeka 118, pada Rabu.
Jelasnya, terdapat enam fokus utama tahun ini bagi mempercepatkan transformasi digital negara iaitu Kesihatan, Pengangkutan, Pertanian, Pendigitalan PKS, Penguatkuasaan, dan Perkhidmatan Kerajaan.
"Dengan menumpukan kepada bidang-bidang ini, kerajaan memastikan ekosistem digital berkembang secara tepat dan berfokus.
"Visi transformasi digital adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan peneraju ekonomi digital serantau. Kementerian Digital komited memastikan ekonomi digital negara berdaya tahan, inklusif, dan bersedia menghadapi masa depan," katanya.
Malaysia juga menyasarkan untuk menjadi negara AI bertaraf global menjelang 2030, dengan tahun ini menandakan peralihan penting pelaksanaan Pelan Tindakan AI Nasional 2026–2030.
"Transformasi digital bukan sekadar penggunaan teknologi, tetapi pembinaan ekosistem komprehensif yang menggabungkan infrastruktur, bakat, dan rangka kerja tadbir urus yang kukuh," jelasnya lagi.
Mengenai inisiatif MD Nexus, Gobind berkata lokasinya yang strategik menjadikannya hab untuk perniagaan digital bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai pengeluar teknologi AI.
Justeru, beliau menyeru penggiat industri untuk bekerjasama sebagai rakan kongsi pembangunan negara, mempercepat pengambilan teknologi, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


