Manfaat teknologi AI, robotik untuk perkukuh industri halal - KP JAKIM

Sirajuddin berkata minat antarabangsa terhadap produk halal Malaysia terus meningkat dengan kehadiran delegasi dari pelbagai negara termasuk China, Mexico, negara-negara Balkan dan Amerika Latin. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memanfaatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik untuk memperkukuh industri halal negara serta memastikan pematuhan terhadap hukum syarak, kata Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Ringkasan AI
- JAKIM memanfaatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik untuk memperkukuh industri halal negara serta memastikan pematuhan terhadap hukum syarak.
- Pusat rujukan industri halal berteknologi tinggi, Halal International Halal Innovation and Technology Centre, bakal direalisasikan tahun ini untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang industri halal dan teknologi yang digunakan.
- Usaha digerakkan bagi merapatkan jurang antara produk halal Malaysia dengan pasaran baharu seperti Eropah Timur dan Amerika Latin dengan mencari pihak perantara dan memperkukuh kerjasama dengan agensi pembimbing.
Sirajuddin berkata penggunaan teknologi seperti AI dan robotik dalam industri halal adalah tidak dapat dielakkan, namun ia perlu dilaksanakan menerusi satu platform bersama yang melibatkan industri, pakar teknologi serta pihak berautoriti agama bagi memastikan kefahaman yang selari.
Beliau berkata JAKIM juga sedang memperkukuh kerjasama dengan agensi pembimbing bagi membantu industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), memahami keperluan pensijilan halal serta memudahkan pematuhan terhadap standard yang ditetapkan.
Sirajuddin berkata minat antarabangsa terhadap produk halal Malaysia terus meningkat dengan kehadiran delegasi dari pelbagai negara termasuk China, Mexico, negara-negara Balkan dan Amerika Latin, namun cabaran utama untuk menembusi pasaran baharu adalah halangan bahasa.
"Mereka tidak bertutur dalam bahasa Inggeris dan kita pula tidak menguasai bahasa mereka, menyebabkan urusan perdagangan tidak dapat diselesaikan dengan berkesan," katanya.
Sehubungan dengan itu, usaha sedang digerakkan bagi merapatkan jurang berkenaan, termasuk mencari pihak perantara bagi membolehkan produk halal Malaysia menembusi pasaran baharu seperti Eropah Timur dan Amerika Latin.
Dalam perkembangan berkaitan, Sirajuddin berkata kerajaan turut merancang menubuhkan Malaysia International Islamic Faith Academy sebagai pusat rujukan yang menghimpunkan kajian dan penyelidikan berkaitan hukum-hakam Islam di universiti tempatan.
Beliau berkata inisiatif itu penting bagi memastikan sumber rujukan sahih dapat dimanfaatkan secara meluas serta membendung penyelewengan maklumat dan ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Kajian-kajian ini ada yang tersimpan di perpustakaan dan tidak dimanfaatkan. Kita mahu ia diketengahkan supaya boleh dirujuk oleh masyarakat umum dan menjadi sumber sahih, termasuk untuk kegunaan teknologi seperti AI," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


