Skip to main content

Malaysia

Google perkenal pengesahan bagi iklan perkhidmatan kewangan di Malaysia mulai 14 April 2026

51738661404_TBGoogle.jpg
Bermula 14 April 2026, pengiklan produk dan perkhidmatan kewangan terpilih dikehendaki melengkapkan proses pengesahan sebelum mereka boleh menyiarkan iklan di platform Google. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Google memperkenalkan Pengesahan Perkhidmatan Kewangan (FSV), iaitu keperluan pensijilan baharu untuk pengiklan perkhidmatan kewangan yang bertujuan meningkatkan perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada penipuan kewangan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Google berkata FSV menambah lapisan keselamatan baharu kepada dasar perkhidmatan dan produk kewangan sedia ada dengan memastikan hanya penyedia perkhidmatan kewangan yang sah dan berlesen sahaja boleh menjangkau pengguna di Malaysia dan menayangkan iklan di platform Google.

Advertisement

“Bermula 14 April 2026, pengiklan produk dan perkhidmatan kewangan terpilih dikehendaki melengkapkan proses pengesahan sebelum mereka boleh menyiarkan iklan di platform Google,” kata Google sambil menambah permohonan untuk pengesahan boleh dibuat melalui rakan pematuhan mereka, G2, bermula Selasa (10 Mac).

Google berkata sebagai sebahagian daripada proses pengesahan itu, pengiklan perkhidmatan kewangan perlu membuktikan bahawa mereka diberi kuasa oleh pihak berkuasa Malaysia seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA).

Merujuk data daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Google berkata penipuan kewangan semakin meningkat di Malaysia dengan kerugian akibat penipuan kewangan mencecah RM2.77 bilion pada 2025 sahaja.

Pengarah Urusan Negara Google Malaysia Ben King berkata penipu sentiasa mengubah taktik mereka bagi mengelak daripada dikesan.

“Itulah sebabnya kami sedang memperkukuh sistem pertahanan kami bagi memastikan hanya penyedia kewangan yang sah sahaja boleh menjangkau pengguna di Google,” katanya.

Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali berkata inisiatif Google itu merupakan langkah kritikal dalam menghalang penipuan kewangan daripada menjangkaui rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video