Pengalaman berdepan banjir besar hingga tinggal sehelai sepinggang, menjadi pengajaran paling berguna kepada mangsa banjir di Kelantan.

Trauma itu menyebabkan mereka kini lebih bersedia, dengan melakukan persiapan awal sejak sebulan lalu.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Batu Papan, Kampung Bertam Lama, Kampung Kundur, Kampung Kerinting, Kampung Bertam Baru, Kampung Limau Kasturi dan Kampung Tiong.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, penduduk sudah menyediakan bot, membina rumah pemindahan banjir dan memindahkan barangan keperluan ke tempat lebih selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Batu Papan, Tarmizi Ismail memberitahu banjir tahun lalu menyaksikan 185 daripada 230 buah rumah di kampung berkenaan ditenggelami banjir.

Sehubungan itu, pihak berwajib bersama-sama penduduk kampung melaksanakan persiapan awal, supaya situasi sama tidak berulang.

Langkah itu juga bagi memastikan bencana itu dapat ditangani dengan lebih baik sebelum ini.

"Kita berbincang dan kita buat persiapan yang rapi dengan penduduk kampung dan pihak kerajaan, pihak berwajib, jadi kita telah dapat menyediakan beberapa buah bot, tempat-tempat untuk kita sebagai transit sebagai tempat pemindahan tu," jelas Tarmizi ketika ditemui Astro AWANI.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Hisham Mustapa sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri sebanyak RM15,000 untuk menyediakan dua buah bot bagi kemudahan penduduk kampung ketika berlaku kecemasan ketika banjir kelak.

Beliau juga turut menyediakan tempat pemindahan untuk mangsa banjir di rumahnya sendiri yang dapat menampung kira-kira 100 orang penduduk.

"Musibah banjir lepas, dengan tiada persiapan tiba-tiba banjir, saya masa tu ada satu bot saja digunakan untuk membantu orang kampung berpindah,

"Tahun ini saya menyediakan bot tambahan berdasarkan ramalan hujan lebih lebat, jadi saya ambil inisiatif sendiri," jelas Hisham.

Biarpun hampir setahun berlalu, penduduk mengakui trauma banjir sehingga kini masih lagi dirasai.