KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang, Johor dan Kelantan meningkat tengah hari ini dengan 3,737 orang berlindung di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 3,323 orang pagi tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 2,037 orang daripada 551 keluarga berbanding 1,760 orang daripada 498 keluarga.

Sebanyak 33 PPS beroperasi di Terengganu iaitu 16 di Besut (766 mangsa), lima di Hulu Terengganu (346 mangsa), masing-masing enam PPS di Dungun (789 mangsa) dan Setiu (136 mangsa).

NADMA dalam laporannya memaklumkan sebuah PPS baharu diaktifkan di Pahang iaitu di daerah Rompin bagi menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga selain tiga PPS di Kuantan yang menempatkan 542 mangsa daripada 222 keluarga, menjadikan jumlah keseluruhan 551 orang berbanding 465 mangsa pagi tadi.

Sementara itu, Nadma turut memaklumkan jumlah mangsa banjir di dua daripada empat daerah di Kelantan meningkat melibatkan daerah Kuala Krai (270 mangsa di enam PPS) dan Tanah Merah (246 mangsa di tujuh PPS) manakala jumlah mangsa di Pasir Puteh (dua PPS, 350 mangsa) dan Machang (satu PPS, 18 mangsa) kekal.

Di Johor, terdapat 265 mangsa daripada 65 keluarga setakat tengah hari tadi berbanding 262 orang daripada 60 keluarga yang masih berlindung di tiga PPS di Kota Tinggi.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Selangor, Terengganu dan Sabah.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Sarang Buaya dan Sungai Endau (Johor); Sungai Muda dan Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Kelantan di Pasir Mas dan Sungai Golok (Kelantan); Sungai Rompin, Sungai Pahang (Kuantan, Pekan, Maran) dan Sungai Kuantan di Pahang.

Turut berada pada paras bahaya ialah Sungai Arau (Perlis), Sungai Klang, Petaling (Selangor), Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu) dan Sungai Kinabatangan (Sabah).

NADMA turut memaklumkan 35 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh, antaranya di Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak) di Pekan, Pahang dan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak.

-- BERNAMA