KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang catat sedikit peningkatan berbanding malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jbatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 6 pagi Sabtu, secara keseluruhan seramai 5,839 mangsa banjir melibatkan negeri Johor dan Pahang direkodkan.

Laporan terkini pusat kawalan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah itu meliputi 5,018 mangsa daripada 1,399 keluarga yang berlindung di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di Johor.

Di Johor, sebanyak 3,830 mangsa berlindung di 24 PPS di Kota Tinggi.

Manakala jumlah mangsa di Mersing melibatkan 595 orang di empat PPS.

Di Kluang, 350 orang ditempatkan di tiga PPS, manakala Segamat menempatkan 89 orang di dua PPS sementara masing-masing sebuah PPS beroperasi di Batu Pahat bagi menempatkan 74 mangsa dan 80 mangsa di Johor Bahru.

Manakala sejumlah 783 mangsa banjir daripada 232 keluarga kini berlindung di sembilan PPS di Pahang.

Di Pahang, sebanyak 25 orang berada di sebuah PPS di Maran, 570 orang melibatkan empat PPS di  Pekan dan 188 lagi di empat PPS di Rompin.

Sementara itu, tinjauan situasi status stesen telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati beberapa sungai di Johor mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Endau di Kluang dan Sungai Tenglu Besar di Mersing.

Sungai Pahang di Bera dan Pekan serta Sungai Rompin adalah antara yang mencatatkan paras bahaya.