ALOR SETAR: Situasi banjir di Kedah dan Perlis menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua negeri berkenaan berkurangan pagi ini.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 152 orang daripada 65 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 164 orang daripada 70 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, satu PPS baharu iaitu Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya, di daerah Pendang telah dibuka pada 6 petang semalam bagi menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Pulai dan Kampung Senggora.
JBPN memaklumkan, di daerah Yan, 126 mangsa daripada 56 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Teroi, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Eng dan PPS Dewan Lestari Guar Chempedak.
Sementara itu, di Perlis mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Batu 5, Kangar, yang beroperasi sebagai pusat transit berkurang kepada 13 orang daripada enam keluarga setakat 8.30 pagi ini, berbanding 17 mangsa daripada tujuh keluarga semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mangsa adalah dari Kampung Telok.
Beliau berkata dewan itu dibuka pada 1.50 pagi Isnin lepas dan setakat ini belum ada PPS dibuka secara rasmi di negeri itu.
-- BERNAMA