Jumlah mangsa banjir di daerah Serian, Sarawak, kekal 631 orang daripada 195 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan.

Namun hujan lebat sekitar bahagian Kuching sejak awal pagi ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan banjir kembali ke kawasan rendah terutama di sini, Serian dan Samarahan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata hujan lebat terutama di beberapa tempat sekitar Kuching pagi ini mengakibatkan banjir kilat di tempat rendah.

Beliau berkata ketika ini agensi yang berkaitan sedang memantau rapi kawasan rendah di pinggir bandar raya yang sebelum ini sering dilaporkan dinaiki air seperti di Taman Malihah, Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi dan Batu Kitang.

Katanya pemantauan lebih rapi diberikan kepada kawasan penempatan yang terletak di pinggir sungai.

Bagaimanapun menurutnya setakat ini tiada pemindahan baharu dan dua pusat pemindahan yang masih aktif ketika ini ialah di Dewan Masyarakat Gedong dan Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh.

Sementara itu, tinjauan mendapati kesesakan teruk berlaku di beberapa tempat di sekitar bandar raya apabila beberapa jalan tidak dapat dilalui akibat dinaiki air.

Antaranya ialah sekitar jalan di Padang Merdeka, kawasan sekitar Hospital Umum Sarawak, Jalan Padungan, Jalan Laksamana Cheng Ho, Jalan Batu Lintang dan Jalan Padungan