Situasi banjir di Terengganu belum menunjukkan sebarang tanda pemulihan malah jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,835 orang malam ini berbanding 2,680 orang petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left Kolonel Che Adam A Rahman berkata ketika ini, sebanyak 1,097 keluarga yang terjejas dipindahkan ke 79 pusat pemindahan di empat daerah setakat pukul 10 malam.

"Daerah yang paling teruk terjejas iaitu Besut, terus mencatat pertambahan jumlah mangsa iaitu 1,693 orang daripada 427 keluarga di 34 pusat pemindahan.

"Begitu juga di Setiu, dua pusat pemindahan baharu dibuka menjadikan jumlah terkini sebanyak 23 pusat sekaligus menyaksikan pertambahan jumlah mangsa kepada 940 orang daripada 251 keluarga berbanding 872 orang daripada 227 keluarga petang tadi," katanya dalam kenyataan di sini.

Di Hulu Terengganu, jumlah mangsa naik mendadak kepada 1,085 orang daripada 387 keluarga berbanding 493 orang daripada 152 keluarga petang tadi.

Sebanyak lapan pusat pemindahan baharu dibuka di daerah itu menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi malam ini ialah 16 pusat.

Di Kemaman, jumlah mangsa juga meningkat sedikit kepada 117 orang daripada 32 keluarga berbanding 82 mangsa daripada 29 keluarga yang kini ditempatkan di lima pusat pemindahan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tujuh sungai di lima daerah telah melepasi paras bahaya malam ini.

Dua sungai terletak di Hulu Terengganu iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong setinggi 25.24 meter (m) melepasi paras bahaya 24.50 m dan Sungai Telemong di Kuala Ping setinggi 21.34 m (paras bahaya 20.00 m).

Dua lagi sungai terletak di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap naik 22.23 m melepasi paras bahaya 21.50 m dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok setinggi 8.46 m berbanding paras bahaya 8.40 m.

Tiga lagi sungai ialah di Kemaman, Dungun dan Besut iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman naik setinggi 19.71 m (paras bahaya 18.50 m), Sungai Dungun di Kuala Jengai naik setinggi 22.67 m (paras bahaya 21.00 m) dan Sungai Besut di Jambatan Keruak setinggi 35.82 m (paras bahaya 35.00 m).

-- BERNAMA