KEMAMAN:Mangsa banjir di Terengganu terus bertambah kepada 7,179 mangsa berbanding 6,305 mangsa pada sebelah pagi tadi.

Peningkatan mendadak itu susulan pertambahan mangsa di daerah Kemaman yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang keempat yang melanda negeri itu sejak Khamis.

Sehingga jam 12 tengahari, sebanyak 47 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di empat daerah bagi menempatkan 1,810 keluarga yang membabitkan pelbagai golongan usia seperti bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Kemaman terus menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir apabila seramai 6,282 mangsa terjejas dibandingkan 5,108 mangsa pada pagi tadi.

Menerusi itu 29 PPS juga telah diaktifkan bagi menempatkan 1,544 buah keluarga.


Manakala di Dungun pula jumlah mangsa banjir meningkat kepada 531 mangsa melibatkan 144 keluarga berbanding 381 mangsa yang terjejas pada pagi tadi dan dipindahkan ke 12 PPS.

Sementara itu, daerah Hulu Terengganu menunjukkan penurunan mangsa banjir kepada 355 mangsa berbanding 805 mangsa yang dipindahkan pada pagi tadi.

Dalam pada itu jumlah mangsa di daerah Setiu masih kekal dengan 11 mangsa melibat tiga keluarga.

Sebuah PPS di Balai Raya Lama Kampung Bukit Nenas diaktifkan bagi menempatkan kesemua mangsa.