KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus menurun manakala Pahang dan Johor pula kekal dengan jumlah keseluruhan seramai 524 orang yang masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini berbanding 572 orang di lima PPS, petang tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa di Terengganu berkurangan kepada 473 orang daripada 157 keluarga di dua PPS di Dungun berbanding 521 mangsa daripada 170 keluarga, petang tadi.

Situasi di Pahang, bagaimanapun, tidak berubah dengan jumlah mangsa kekal 22 orang daripada lima keluarga masih berada di sebuah PPS di Rompin manakala di Johor kekal 29 orang daripada sembilan keluarga di sebuah PPS di Kota Tinggi.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras air beberapa sungai di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu berada pada tahap bahaya.

Sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan); Sungai Rompin dan Sungai Pahang di Bera dan Cameron Highlands dan Sungai Arau (Perlis).

Turut terlibat Sungai Kinabatangan (Sabah); Sungai Klang di Petaling (Selangor); Sungai Dungun dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh, antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands,Trolak Selatan di Batang Padang, Perak dan Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor.

-- BERNAMA