Skip to main content

Gaya Hidup

AstraZeneca, Persatuan Nefrologi Malaysia perkasa kesedaran penyakit aHUS menerusi kerjasama dua tahun

 AstraZeneca, Persatuan Nefrologi Malaysia perkasa kesedaran penyakit aHUS
AstraZeneca Malaysia dan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama dua tahun bagi memperkukuh kesedaran, pemahaman serta sokongan terhadap individu yang terjejas oleh Sindrom Uremik Hemolitik Atipikal (aHUS).
Advertisement

KUALA LUMPUR: AstraZeneca Malaysia dan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama dua tahun bagi memperkukuh kesedaran, pemahaman serta sokongan terhadap individu yang terjejas oleh Sindrom Uremik Hemolitik Atipikal (aHUS), sejenis penyakit jarang jumpa yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang serius serta komplikasi pada organ lain.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan, selain menyokong pengesanan awal serta rujukan yang lebih tepat bagi pesakit di Malaysia.

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai inisiatif termasuk program pendidikan kesihatan, usaha mempertingkatkan pengenalpastian awal penyakit serta menggalakkan pendekatan penjagaan pelbagai disiplin bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Presiden MSN, Dr Rosnawati Yahya berkata, aHUS merupakan penyakit yang serius dan memerlukan pengesanan serta intervensi segera bagi mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang.

Menurut beliau, kerjasama itu diharap dapat membantu memperkasakan golongan profesional kesihatan melalui pendidikan yang relevan, selain meningkatkan kefahaman mengenai cabaran yang dihadapi pesakit dan keluarga mereka.

“aHUS ialah keadaan yang jarang berlaku namun memerlukan penjagaan khusus. Melalui kerjasama ini, MSN berhasrat menggalakkan rujukan yang sewajarnya dan memperkukuh sokongan kepada pesakit di Malaysia,” katanya.

Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr Svetlana Yanchuk pula berkata, penyakit jarang jumpa sering kurang mendapat perhatian walaupun memberi kesan besar kepada pesakit, keluarga dan sistem penjagaan kesihatan.

Katanya, peningkatan kesedaran dan pengesanan awal amat penting memandangkan aHUS boleh menyebabkan komplikasi serius kepada buah pinggang dan organ lain sekiranya tidak dikenal pasti pada peringkat awal.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyokong inisiatif berasaskan bukti yang membantu meningkatkan kesedaran mengenai aHUS serta memastikan pesakit menerima penilaian dan rawatan yang sewajarnya dengan lebih pantas,” katanya.

Menurut Profesor Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Nefrologi, Profesor Dr Lim Soo Kun, penyakit jarang jumpa seperti aHUS sering berdepan cabaran dari segi diagnosis kerana simptomnya boleh menyerupai pelbagai masalah kesihatan lain.

Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan profesional kesihatan dan memperjelas laluan rujukan akan membantu pesakit mendapatkan akses kepada kepakaran yang sesuai dalam tempoh lebih cepat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Choo Kok Ming berkata, keluarga yang berdepan penyakit buah pinggang jarang jumpa memerlukan akses kepada maklumat yang tepat serta sokongan berterusan sepanjang perjalanan rawatan.

Beliau menegaskan, organisasi pesakit memainkan peranan penting sebagai penghubung kepada sumber yang sahih, sokongan komuniti dan perkhidmatan berkaitan.

Bagi penjaga pesakit aHUS, Mohd Nizrul, perjalanan mendapatkan diagnosis yang tepat sering kali mencabar dan dipenuhi ketidakpastian.

Katanya, peningkatan kesedaran mengenai penyakit itu diharap dapat membantu lebih ramai keluarga mendapatkan maklumat yang betul, nasihat perubatan serta sokongan pada peringkat awal.

Kolaborasi antara AstraZeneca Malaysia dan MSN itu dilancarkan menjelang Hari Kesedaran aHUS yang disambut pada 24 September, sekali gus menekankan kepentingan pengesanan awal penyakit jarang jumpa serta penyelarasan yang lebih baik dalam ekosistem penjagaan kesihatan negara.

Melalui gabungan kepakaran klinikal MSN serta pengalaman AstraZeneca dalam bidang sains dan sistem penjagaan kesihatan, kerjasama berkenaan dijangka menyokong pembangunan inisiatif tempatan yang mampu memperkukuh penjagaan pesakit aHUS di Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement