ALOR GAJAH: Pembangunan ilmu falak di bawah Jabatan Mufti Melaka adalah antara sukatan pelajaran yang dimasukkan dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, pendekatan itu dilakukan sebagai pendedahan awal kepada pelajar sekolah dan generasi muda untuk mendalami ilmu falak yang berasaskan al-Quran dan sunah, sains, matematik dan teknologi aeroangkasa.
"Sukatan pelajaran yang diperkenalkan dalam pembangunan TVET Melaka ialah pengenalan pembuatan dron bagi menentukan arah kiblat dan program itu dilaksanakan pada Karnival Falak Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung selama tiga hari, berakhir semalam.
"Sebanyak 80 pelajar menyertai program berkenaan dan pendedahan itu akan terus dilaksanakan secara berperingkat untuk memupuk minat generasi muda terhadap ilmu falak," katanya kepada pemberita di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita (Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara) dan Majlis Penutupan Karnival Falak Peringkat Kebangsaan 2026 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Abdul Halim berkata, usaha berkenaan ialah satu daripada platform penting untuk melahirkan lebih banyak cendekiawan Islam dalam bidang astronomi, sekali gus memperkasakan agenda pembangunan ilmu falak dan TVET.
Dalam pada itu, beliau berkata Kompleks Falak Al-Khawarizmi ketika ini menjadi tumpuan beberapa institusi pengajian tinggi dari Indonesia bagi menjalankan program pendidikan falak secara berjadual.
"Satu daripada institusi berkenaan ialah Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin (IAITF) Dumai dan setiap tahun, dua atau tiga kali pelajar mereka akan dihantar untuk berkursus tentang ilmu falak di kompleks ini.
"Kompleks Falak Al-Khawarizmi kini bukan sahaja sebagai pusat pencerapan, malah turut menjadi pusat penyelidikan, pelancongan dan pendidikan ilmu falak berteraskan elemen TVET," katanya.
Terdahulu, Abdul Halim berkata lebih 7,000 pengunjung menyertai kira-kira 20 program yang dilaksanakan pada Karnival Falak Peringkat Kebangsaan 2026 melibatkan penyertaan 30 agensi, institusi serta komuniti falak dari seluruh negara.
-- BERNAMA