KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir direkodkan di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan meningkat kepada 534 mangsa setakat 4 petang ini, berbanding 487 orang tengah hari tadi.

Menurut laporan situasi semasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat petang ini melibatkan tiga PPS di Selangor dan sebuah di Negeri Sembilan.

Di SELANGOR, tiga PPS diaktifkan iaitu di daerah Klang yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga, Kuala Selangor (54 mangsa daripada 13 keluarga) dan Petaling dengan 334 mangsa daripada 77 keluarga, setakat petang ini.

Selain itu, portal InfoBencanaJKM memaklumkan tiga PPS yang beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Desa Coalfields dan SK Sungai Binjai yang baru dibuka hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan terdapat sebuah PPS dibuka pada 12.30 tengah hari tadi di Surau Kampung Nerambai, Rembau menjadikan keseluruhan dua PPS dibuka setakat ini, melibatkan 70 mangsa.

PKOB, JPBN APM Negeri Sembilan turut memaklumkan terdapat kawasan masih belum mendapat bekalan elektrik berikutan penutupan bekalan Tenaga Nasional Berhad iaitu di Taman Linggi Idaman.

"Usaha-usaha giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di MELAKA, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Alor Gajah kekal 55 orang manakala jumlah keluarga di PPS Balai Raya Bukit Balai kekal 13 keluarga setakat 4 petang ini.

Sekretariat JPBN Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata jumlah kawasan terjejas ialah 10 lokasi berbanding sembilan lokasi sebelum ini melibatkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok China dan Kampung Sungai Jernih.

Selain itu, kawasan Taman Masjid Tanah Ria, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal dan Kampung Brisu dan Kampung Pulau.

Tinjauan situasi status stesen telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, NADMA dalam laporan sama memaklumkan terdapat dua lokaliti merekodkan paras bahaya iaitu Sungai Klang, Selangor dan Sungai Besut, Terengganu.

-- BERNAMA