Lebih lapan puluh keluarga dari beberapa kampung di Rantau panjang yang terputus hubungan akibat ditenggelami air enggan berpindah walaupun diarah dan dipujuk oleh pasukan penyelamat.

Usaha Astro Awani turun padang bersama anggota bomba dan penyelamat dengan mengharungi air separas pinggang bagi memujuk mangsa banjir berpindah tidak berhasil.

Penduduk kampung Tasik Bakung lebih rela bermalam di rumah yang dinaiki air.

Alasan utama mereka adalah khuatir dengan kes pecah rumah dan kecurian yang kerap berlaku di musim banjir.

Mereka juga mahu mengawasi ternakan termasuk lembu dan ayam yang sentiasa menjadi sasaran pencuri.

Turut berkongsi kebimbangan ialah seorang warga emas, Zainab Yaakob yang menumpang teduh di rumah separa siap.

Penduduk merayu pihak berkuasa mewartakan surau di sini yang terletak di kawasan tinggi sebagai pusat pemindahan bagi mengelak mereka berpindah jauh dari kediaman.

Semasa banjir sebelum ini, kampung ini pernah terputus hubungan apabila kabel talian telefon dipotong dan dicuri.

Keengganan penduduk untuk berpindah menggusarkan pihak bomba.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Othman berkata, pihaknya bagaimanapun bersedia memindahkan mangsa jika keadaan bertambah buruk.

“Saya lihat kenaikan air agak tinggi namun terdapat penduduk yang enggan berpindah disebabkan masalah tertentu bagaimana pun pihak bomba menasihati mereka menghubungi Jabatan Bomba di talian 999 dan kita akan bertindak dengan segera sekiranya paras air meningkat malam ini atau esok,” ulas Azmi.

Jelasnya apa yang membimbangkan adalah keselamatan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.