Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Mersing hari ini, berikutan peningkatan jumlah mangsa banjir yang kini seramai 965 orang berbanding 530 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata PPS Balai Raya Kampung Benaung dibuka pada 9.30 pagi tadi menjadikan tujuh PPS dibuka di daerah itu setakat ini.

"Kesemua 965 orang daripada 266 keluarga di Mersing itu merupakan penduduk Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, Kampung Orang Asli Labong dan Kampung Air Merah yang terjejas banjir secara berperingkat mulai dua hari lepas," katanya menerusi kenyataan di sini.

Ayub berkata selain Balai Raya Kampung Benaung, enam PPS lain ialah Balai Raya Kampung Tenglu Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan, Sekolah Agama (SA) Pengkalan Batu, SA Mersing Kanan, SK Labong dan Balai Raya Kampung Air Merah.

Beliau berkata keadaan banjir di Segamat pula tidak berubah dengan 97 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Tekam yang kekal berada di empat PPS sejak pagi tadi.

Kesemua PPS itu melibatkan Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, Balai Raya Kampung Pogoh Tengah, Kompleks Penghulu Mukim Pogoh dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

Ayub turut memaklumkan Jalan Telok Arong di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau-Jalan Air Papan.

Jalan Johor Bahru-Kuantan pula hanya boleh dilalui kenderaan berat dan orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif Jalan Sekakap-Meta.

Sementara di Pahang, jumlah mangsa banjir di tiga buah daerah di negeri itu meningkat lima orang tengah hari ini kepada 1,457 orang berbanding pagi tadi dengan kesemuanya ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusof berkata Pekan masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai dengan 1,210 orang yang ditempatkan di 10 buah PPS.

"PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang kini menempatkan 322 mangsa, SK Sri Biram (67), SK Sinar Mutiara (375), SK Seri Terentang (39), SK Temai (93).

"Selain itu mereka turut ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya (136), Pulau Manis (75), Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39), Pusat Pemindahan Kampung Lamir (55) dan SK Acheh (9)," katanya ketika dihubungi di sini.

Di Rompin, 238 mangsa ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan iaitu SK Tekek, Tioman (63), Dewan Orang Ramai Leban Chondong (71) dan Balai Raya Setajam (104).

Di Raub, mangsa yang ditempatkan di PPS Masjid Jamek Kuala Semantan meningkat kepada sembilan orang berbanding tiga orang pagi tadi.

--BERNAMA