JOHOR BAHRU: Selepas tujuh tahun, sebanyak 171 mangsa pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, menang kes saman mereka terhadap sebuah syarikat dan tiga yang lain yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.
Pesuruhjaya Kehakiman Manira Mat Nor memutuskan sebuah syarikat, seorang pemandu lori dan dua pengarah syarikat bertanggungjawab secara bersama dan berasingan dalam kejadian pencemaran toksik Sungai Kim Kim pada 2019.
Empat defendan itu ialah P Tech Resources Sdn Bhd (syarikat yang mengendalikan loji pirolisis tayar di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat); N. Maridass (pemandu lori tangki yang mengangkut dan melepaskan sisa buangan ke dalam Sungai Kim Kim), dan dua pengarah syarikat itu Yap Yok Liang serta Wang Jing Chao.
Dalam penghakimannya, Manira berkata daripada aspek kacau ganggu awam, mahkamah mengambil kira skala insiden yang menjejaskan lebih 6,000 penduduk, dengan 2,775 mangsa menerima rawatan di hospital dan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup, antaranya mengalami sesak nafas, loya, muntah, pening, kekejangan otot dan pengsan.
“Gelombang pertama pada 7 Mac memberikan impak klinikal akut terhadap institusi pendidikan berhampiran. Gelombang kedua pada 12 Mac 2019 dan gelombang ketiga pada 13 Mac 2019, menyaksikan lonjakan mangsa yang memerlukan rawatan kecemasan sehingga Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan arahan penutupan sekolah-sekolah di Pasir Gudang.
“Kronologi insiden fizikal, mekanisme tindak balas kimia dan impak penyebaran gas toksik dianalisis secara tuntas di bawah analisis dan dapatan mahkamah bersama nota rekod dan keterangan saksi,” katanya.
Mahkamah memerintahkan keempat-empat defendan membayar kos berjumlah RM100,000 kepada semua 171 plaintif yang merupakan jumlah pukal bagi peringkat liabiliti, yang merangkumi kedua-dua kes yang didengar bersama, iaitu saman melibatkan 42 plaintif berkaitan kecederaan diri dan satu lagi tindakan oleh 129 nelayan yang menuntut kerugian akibat kemerosotan hasil tangkapan.
Prosiding taksiran jumlah ganti rugi bagi semua plaintif akan ditetapkan kemudian.
Sementara itu, bagi kes saman 42 plaintif, mahkamah menolak tuntutan mereka terhadap defendan pertama hingga kelapan yang terdiri daripada agensi kerajaan, pegawai awam serta pihak berkuasa awam dan memerintahkan mereka membayar kos RM10,000 kepada setiap defendan terbabit, menjadikan jumlah keseluruhan RM80,000.
Bagi kes nelayan, tuntutan terhadap defendan pertama hingga kelapan telah dibatalkan lebih awal menerusi perintah mahkamah pada 13 Jan 2021.
Mahkamah membenarkan tuntutan ganti rugi kecederaan diri kesemua 42 plaintif terdiri daripada 32 kanak-kanak dan 10 individu dewasa terhadap keempat-empat defendan itu selepas mendapati kecederaan fizikal serta hubungan sebab musabab antara pencemaran Sungai Kim Kim dengan kecederaan berkenaan berjaya dibuktikan atas imbangan kebarangkalian.
Kes nelayan pula melibatkan 129 nelayan tradisional termasuk komuniti Orang Asli dari tujuh perkampungan sekitar Sungai Kim Kim, yang mendakwa mengalami kemerosotan hasil jualan ikan antara 50 hingga 85 peratus bagi tempoh Mac hingga Jun 2019.
Prosiding taksiran jumlah ganti rugi bagi semua plaintif akan ditetapkan kemudian.
Dalam penghakimannya selama sejam, Manira berkata terdapat rantaian bukti keadaan yang secara kumulatif menghubungkan P Tech Resources dengan pencemaran berkenaan, antaranya pengeluaran bahan cecair seberat 46,330 kilogram dari premis syarikat pada 5 Mac 2019.
Dua hari kemudian, Maridass didapati telah melepaskan buangan terjadual berupa buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim menggunakan sebuah lori tangki antara 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, dan dia selepas itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berhubung pelepasan bahan itu dan didenda RM100,000 pada 30 Nov 2023.
Mahkamah memutuskan bahawa walaupun keputusan kes jenayah tidak dengan sendirinya menentukan liabiliti sivil, pengakuan bersalah Maridass boleh diterima sebagai satu bentuk pengakuan terhadap dirinya dalam prosiding berkenaan.
Mahkamah turut menolak pembelaan P Tech Resources bahawa bahan yang dibawa keluar dari kilangnya hanyalah air basuhan lantai biasa, malah seorang pengarah syarikat dalam pemeriksaan balas mengakui bahan berkenaan turut dijual kepada kilang simen sebagai bahan api gantian arang batu.
Manira menyifatkan pengakuan itu sebagai “senjata makan tuan” kerana cecair yang mempunyai nilai kalori dan mampu membantu proses pembakaran industri tidak konsisten dengan dakwaan bahawa ia sekadar air basuhan biasa yang selamat.
Mahkamah turut mendapati syarikat berkenaan tidak pernah mendapatkan pengesahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sama ada cecair 46,330 kilogram itu merupakan buangan terjadual serta tidak mengemukakan analisis bagi membuktikan sebaliknya.
Perbicaraan berlangsung selama 20 hari dengan keterangan sembilan saksi plaintif dan 12 saksi defendan. Plaintif diwakili peguam Datuk Kamaruddin Ahmad, Walter Pereira, Kem Kumar Lopez dan Radhiah Abdul Karim.
Kerajaan Negeri Johor selaku defendan pertama, Menteri Besar Johor ketika itu Datuk Osman Sapian sebagai defendan kedua, Dr Sahruddin Jamal yang ketika itu Exco Alam Sekitar sebagai defendan ketiga serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor sebagai defendan kelima diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Muhammad 'Azzam Zainal Abidin dan Arief Aiman Hamir Hamzah.
Pengarah JAS Johor selaku defendan keempat, Ketua Pengarah JAS sebagai defendan ketujuh dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kelapan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamarudin dan Nurul Farhana Khalid.
Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) selaku defendan keenam diwakili peguam Mohd Faizal Ahmad dan Ahmad Ibrahim Hane.
-- BERNAMA