PASIR GUDANG: Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim sedia mempertimbang kaedah penyelesaian di luar mahkamah dalam saman sivil berjumlah RM30 juta memandangkan kes itu sudah berlarutan selama hampir lima tahun.

Peguam Jawatankuasa Bertindak Mangsa dan Keluarga Gas Toksik Sungai Kim Kim Datuk Kamarudin Ahmad, yang mewakili 42 plainitif, berkata perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung pada tahun 2020 namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

Beliau berkata prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah ditetapkan dari 22 hingga 24 Jan 2024.

"Ya, kita memang ada pihak yang sedang membantu dan berusaha untuk selesaikan kes ini di luar mahkamah kerana jangka masa lima tahun agak terlalu lama untuk kes sivil berjalan.

"Jadi kita melihat sekiranya pihak kerajaan negeri dapat menyelesaikan kes ini di luar mahkamah maka kita sangat mengalu-alukan kerana tidak perlu melalui proses perbicaraan yang panjang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, jawatankuasa itu dilapor telah memfailkan kes saman tersebut pada Julai 2019 ke atas 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor dan Menteri Besar.

Terdahulu, Kamarudin memberi taklimat kepada lebih 30 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim dan ahli keluarga mereka yang terlibat dalam kes saman itu.

Pada 30 Nov lepas, seorang pemandu lori didenda RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim membabitkan pelupusan haram buangan terjadual.

Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, turut didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan RM320,000.

Insiden pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku pada Mac 2019 telah menggemparkan seluruh negara kerana menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.

-- BERNAMA