Walaupun kejadian itu sudah berlaku dua tahun lepas, namun bagi Siti Nor Ain Abdullah, 27, kejadian diragut di lampu isyarat masih lagi segar diingatannya. Ketika itu dia memandu sendirian pulang ke rumah dari Putrajaya ke Bandar Tasik Permaisuri kira-kira dalam pukul 10:30 malam.

“Sampai di lampu isyarat merah, kereta saya berhenti di barisan nombor dua, di belakang sebuah kereta lain. Macam biasa saya akan hubungi ibu kerana saya hampir tiba di rumah. Tiba-tiba datang sebuah motor berhenti di sebelah pintu penumpang, cuba memecah cermin kereta saya. Masa tu saya letak sebuah beg berisi baju di atas tempat duduk penumpang. Mungkin peragut tersebut menyangka ada duit dalam bag itu”

Cermin keretanya berjaya dipecahkan dan berlaku kejadian tarik menarik antara dia dan peragut tersebut dalam beberapa saat sehinggalah kereta dibelakang membunyikan hon. Mungkin kerana terkejut dua lelaki bermotosikal itu segera beredar dari situ tanpa berjaya mengambil beg tersebut.

“ Sehingga sekarang saya masih trauma jika ada motosikal berhenti di sebelah kereta” tambah Ain lagi.

Fazleena Aziz, 32,

Trauma yang sama dirasai oleh Fazleena Aziz, 32, yang juga mengalami pengalaman yang sama.
Kejadian ragut dilaluinya sekitar pukul tiga petang tahun lepas di kawasan Taman Melawati.

“Semasa kejadian, saya dalam keadaan penat kerana baru pulang dari kerja. Mungkin kerana letih, saya biarkan beg tangan di atas tempat duduk penumpang. Sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki, pantas memecah cermin tingkap di sebelah saya dengan kuat dan melarikan beg tangan tersebut”
Seperti Ain, ketika kejadian keretanya berhenti di barisan kedua di lampu isyarat merah.

Ceritanya lagi serpihan dari cermin kereta turut mengena tangan dan tubuhnya.

“Kejadian berlaku begitu pantas, mungkin dalam 10 saat. Saya sangat terkejut. Mujur semasa itu saya memakai kaca mata hitam. Jika tidak serpihan kaca dari cermin tingkap akan masuk ke dalam mata”

Sejak kejadian itu dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan beg tangannya di bawah tempat duduk setiap kali memandu.

Dawn Jeremiah, 28,

Nasihat yang sama diberikan oleh personaliti TV dan pelakon, Dawn Jeremiah, 28, yang mahukan wanita lebih peka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling ketika berada di luar rumah.

Berhadapan dengan peragut di salah sebuah pasaraya terkemuka di Damansara, memberikan kenangan pahit buat Dawn untuk tahun 2012.

“Semasa kejadian, saya bersama seorang kawan perempuan. Kami baru sahaja selesai menonton wayang lewat malam dan ketika itu dalam perjalanan ke tempat parking. Saya leka memeriksa handphone semasa itu dan berjalan perlahan di belakang kawan saya. Tiba-tiba ada seorang lelaki berlari dari belakang dan menolak saya dan cuba untuk merampas beg tangan saya. Kemudiannya saya menjerit dan cuba menarik kembali beg tangan tersebut”

Menurut Dawn, mungkin kerana panik dan takut dengan jeritannya, peragut tersebut terus melarikan diri ke arah seorang penunggang motosikal yang siap sedia menunggu di seberang jalan.

Dawn dan rakannya telah mengambil tindakan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak pengurusan pasaraya. Semenjak itu, pihak pengurusan telah mempertingkatkan tahap keselamatan termasuk meletakkan pondok polis di kawasan berkenaan.

Dawn juga berkata yang dia sangat bertuah tak dicederakan dan beg tangannya tidak berjaya dilarikan dikala itu.

Sejak kejadian itu, Dawn membeli semburan lada sebagai langkah keselamatan di masa hadapan.

Natasha Eryna Mohd Nasir, 26,

Bagi Natasha Eryna, 26, pengalaman pahit diragut memang sukar dilupakan tambahan pula kerugian yang dialaminya agak tinggi kerana terdapat barang kemas di dalam beg tangannya ketika dilarikan peragut.

“ Saya ketika itu sedang berjalan di tepi jalan raya bersama tiga lelaki yang merupakan rakan sekerja menuju ke arah kereta yang diletakkan tak jauh dari tempat saya diragut. Peragut bermotosikal melarikan beg tangan saya dengan cepat dan terus memecut pergi”

Kejadian tersebut berlaku pada tahun 2011, kira-kira pukul enam petang di sekitar Kelana Jaya. Ketika laporan dibuat, Natasha diberitahu bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan panas dan sering menjadi tumpuan peragut-peragut yang aktif menjalankan kegiatan haram.

Natasha juga menasihatkan kepada golongan wanita terutamanya, sekiranya berjalan kaki pastikan beg tangan yang dibawa tidak menghadap jalan raya. Langkah tersebut dapat mengelakkan dari disambar peragut.

“Malang itu tidak berbau, jika boleh janganlah simpan barang berharga seperti barangan emas di dalam beg tangan” katanya lagi.