NATIONAL
Mangsa tersusuk besi bersyukur pembedahan berjaya

Azlan Mahmood, 55, berkata doktor memaklumkan bahawa kecederaannya tidak akan menyebabkan komplikasi jangka panjang atau penyakit lain. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Mangsa kemalangan yang tertusuk besi bersyukur apabila proses mengeluarkan besi yang menembusi pipi hingga kepalanya berjaya dilakukan hari ini.
Azlan Mahmood, 55, berkata doktor memaklumkan bahawa kecederaannya tidak akan menyebabkan komplikasi jangka panjang atau penyakit lain.
"Saya bersyukur masih panjang umur dan tidak perlu menjalani pembedahan rumit. Proses mengeluarkan besi Y12 hanya mengambil masa dua jam," katanya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada Ahad.
Menurut doktor, besi cerucuk itu tidak mengenai bahagian dalam kepala dan otak, membolehkan Azlan pulih seperti biasa.Menceritakan kembali kejadian, bapa kepada lima anak itu berkata dia baru sahaja mengambil upah membina penghadang longkang di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, bagi memudahkan penduduk mengangkut hasil kelapa sawit.
"Semalam adalah minggu kedua saya bekerja di situ. Selepas membancuh simen sekitar jam 9.30 pagi, saya menggunakan motosikal roda tiga milik seorang penduduk untuk mengambil pam air di kampung sebelah.
"Ketika menuruni laluan curam, motosikal hilang kawalan sebelum terbalik ke dalam tapak pembinaan, menyebabkan besi cerucuk tertusuk ke pipi hingga kepala," katanya.
Azlan, yang menetap di Batu 3, Jalan Jeniang, Gurun, berkata dia tidak berasa sakit pada mulanya tetapi menyedari ada besi di pipinya selepas gagal menggerakkan kepala untuk bangun.
"Darah mula mengalir di tangan saya, menyebabkan saya menjerit meminta bantuan. Nasib baik dua penduduk yang berada di tapak pembinaan datang membantu.
"Mereka terkejut melihat keadaan saya sebelum salah seorang mengambil alat pemotong besi dan memotong besi itu untuk membolehkan saya bangun. Saya kemudian dihantar ke Hospital Daerah Sik menggunakan ambulans Briged Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM)," katanya.
Azlan kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, pada petang Sabtu, dan awal pagi tadi, besi tersebut berjaya dikeluarkan.
Sementara itu, anak bongsu mangsa, Muhd Aliff, 22, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa bapanya.
"Saya sedang bekerja sebagai kelindan lori di Gurun apabila mendapat berita mengenai ayah. Saya segera bergegas ke hospital bersama ibu untuk melihat keadaannya.
"Ibu, Normadiah Bakar, sangat bimbang selepas melihat gambar besi tertusuk di pipi ayah yang tular, tetapi saya cuba menenangkan ibu dan meminta dia berdoa agar ayah selamat," katanya.
Semalam, Astro AWANI melaporkan seorang lelaki mengalami kecederaan selepas pipinya tertusuk besi sepanjang 0.9 meter akibat motosikal yang ditunggangnya terbabas ke parit di Kampung Bukit Hangus, Jeneri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami