Manifesto Barisan Nasional (BN) bakal melonjakkan peningkatan undi rakyat untuk memenangi majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, keputusan itu kelak seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang stabil, dinamik dan progresif berdasarkan prinsip demokrasi.

"Pada pemerhatian saya, manifesto kali bukan sekadar dokumen untuk tatapan rakyat, sebaliknya berupa kandungan gagasan kerajaan BN untuk membawa rakyat pelbagai kaum, budaya, agama dan adat resam, kepada penghidupan yang lebih sempurna, lebih berwawasan dan lebih berdaya saing seiring dengan arus pembangunan negara, khususnya untuk jangka masa lima tahun akan datang.

"Pendekatan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi manifesto berkenaan mencerminkan hala tuju sebenar sebuah kerajaan berjiwa rakyat dan turut membuktikan ketelusan Perdana Menteri yang sedang berusaha untuk memajukan negara bangsa.

"Penekanan yang diberikan terhadap usaha meningkatkan pendapatan rakyat terbukti bilamana kerajaan BN akan meningkatkan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di mana isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah akan menikmati pembayaran sebanyak RM,2000 berbanding sebelum ini sebanyak RM1,200," katanya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: BN bentang manifesto sebagai bekalan hadapi PRU14

BACA:
Manifesto BN: Mengukir senyuman untuk Sabah dan Sarawak

Jelasnya, janji yang dibuat oleh BN dengan menaikkan bayaran BR1M menunjukkan bahawa kepimpinan Perdana Menteri berusaha bersungguh-subngguh dan memberi perhatian serius terhadap penghidupan rakyat akibat tekanan kos sara hidup.

"Walaupun sebelum ini pihak pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan liar dan tohmohan terhadap BR1M, namun kerajaan BN tetap komited dan akan terus berusaha dengan apa juga cara demi untuk kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat.

"Malah, pemberian bantuan BR1M itu bersifat terbuka, iaitu tidak kira sama ada penerima itu penyokong mahupun penentang kerajaan BN, asalkan mereka menepati syarat atau peraturan yang telah ditetapkan.

"Ini membutkikan kerajaan pimpinan Najib lebih bertanggungjawab dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup dan keselesaaan rakyat samada di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar termasuk para peneroka di tanah-tanah rancangan kerajaan seperti Felda dan Felcra," ujarnya.

Dalam pada itu Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, janji BN untuk menubuhkan Universiti Al-Quran bukti menyahut saranan banyak pihak terutama ibu bapa dan pelajar-pelajar di pusat tahfiz.

"Langkah ini juga sekali gus menepis dakwaan pembangkang dan pihak tertentu kononnya kerajaan BN pimpinan Najib tidak memberi penekanan terhadap pembangunan dan perkembangan syiar Islam di negara ini.

"Dalam manifesto kali ini, kerajaan akan terus memperkasakan pelajar-pelajar lepasan Maahad Tahfiz melalui program keperantisan dan pemadanan latihan amli berstruktur disamping akan menambah bilangan surau-surau bertaraf Jumaat.

"Saya juga melihat keseluruhan manifesto 'Bersama BN Hebatkan Negaraku' sebagai aku janji yang lebih holistik, realistik dan berpijak di alam nyata. Malah manifesto PRU14 juga membuktikan keprihatinan dan keterbukaan kerajaan BN terhadap rakyat pelbagai kaum dengan tawaran yang munasabah dan mampu dilaksanakan," jelasnya.

Secara keseluruhannya kata Syed Ali, manifesto BN bagi PRU14 kali ini mencerminkan usaha bersungguh-sungguh dan berterusan kerajaan BN pimpinan Najib melestarikan penghidupan rakyat di seluruh negara sejajar dengan pelan transformasi pembangunan negara.

"Saya amat yakin bahawa manifesto yang dhidangkan kepada rakyat sebagai agenda utama kerajaan BN untuk berdepan dengan PRU14 amat bermanfaat kepada seluruh rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak, dan sekali gus menolak dakwaan dan andaian pembangkang yang sebelum ini melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas.

"Percayalah, manifesto BN bagi PRU14 ini merupakan sebuah gagasan rakyat yang bukannya bersifat retorik dengan menzahirkan pelbagai tawaran atau pengharapan munasabah yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan BN dengan mendahulukan kepentingan rakyat.

"Najib yang mengetuai kerajaan BN pastinya akan sentiasa memikirkan kepentingan rakyat, masa depan negara dan hala tuju generasi muda," katanya.