BATU PAHAT: Sebanyak 160 tan kelapa kering yang dikesan mempunyai isu serangga perosak disyaki 'Red Legged Ham Beetle' dilarang daripada dibawa masuk ke negara ini oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Jeti Batu Pahat di sini.

Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, serangga perosak itu dikesan selepas pihaknya menahan sebuah kapal dagangan yang membawa muatan berkenaan dari Indonesia di jeti terbabit, pada Khamis.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis telah menemui serangga perosak disyaki 'Red Legged Ham Beetle' pada barang dagangan kelapa kering tersebut.

"Berikutan itu, dagangan sebanyak 160 tan dengan nilai anggaran RM272,000 itu tidak dibenarkan masuk ke dalam negara bagi mengelakkan penyebaran perosak yang boleh menjejaskan industri kelapa negara.

"Kapal tersebut ditolak kemasukannya dan perlu kembali ke negara asal iaitu Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Edie Putra, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian yang berperosak adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya
didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

"Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menyekat kehadiran perosak, penyakit atau bahan cemar yang boleh menyebabkan kemerebakan, penularan serta unsur berbahaya terhadap industri pertanian negara," katanya.