KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan kira-kira 45,000 pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), malah turut memastikan kebajikan hampir 225,000 pelajar dalam keseluruhan ekosistem pendidikan agensi itu terus terpelihara.
Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu melibatkan pelajar yang mengikuti pengajian di pelbagai institusi pendidikan dan latihan di bawah seliaan MARA termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional MARA (TVETMARA).
Beliau berkata, ekosistem pendidikan MARA turut merangkumi GiatMARA, Kolej MARA (KM), Kolej Profesional MARA (KPM), German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), selain pelajar tajaan yang melanjutkan pengajian di institusi dalam serta luar negara.
“MARA bukan hanya menguruskan kebajikan 45,000 pelajar MRSM, sebaliknya bertanggungjawab terhadap hampir 225,000 pelajar dalam keseluruhan ekosistem pendidikan MARA,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.
Asyraf berkata, tanggungjawab itu melangkaui aspek akademik semata-mata, sebaliknya meliputi penyediaan kemudahan pembelajaran, pembangunan sahsiah, kesejahteraan pelajar dan sokongan sepanjang tempoh pengajian.
Katanya, pendekatan menyeluruh itu selaras dengan komitmen MARA untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri serta pasaran pekerjaan semasa.
Beliau berkata, MARA akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan yang holistik supaya setiap institusi di bawah agensi itu mampu menawarkan pendidikan berkualiti dan melahirkan graduan berprestasi tinggi.
"Pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan kekal menjadi antara keutamaan MARA bagi memastikan lebih ramai anak Bumiputera memperoleh akses kepada pendidikan serta latihan berkualiti.
"Usaha memperkasakan institusi pendidikan MARA juga akan diteruskan agar sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi, keperluan industri dan aspirasi negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan MARA komited untuk terus menjaga kebajikan hampir 225,000 pelajar di bawah ekosistem pendidikannya sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.