NATIONAL
Mara sasar tubuh hospital, kukuh ekosistem bumiputera dalam sektor perubatan

Asyraf Wajdi berkata cadangan itu adalah kesinambungan daripada kejayaan rangkaian klinik kendalian Mara seperti UNI Klinik, UNI Dental dan UNI Farmasi yang kini mempunyai 140 cawangan di seluruh negara. - Gambar fail
KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk memperluas perkhidmatan kesihatan kendaliannya menerusi cadangan penubuhan Hospital Mara dalam usaha memperkasakan penglibatan bumiputera dalam sektor perubatan dan keusahawanan profesional.
Ringkasan AI
- Mara bercadang menubuhkan Hospital Mara sebagai lanjutan daripada kejayaan rangkaian UNI Klinik, UNI Dental dan UNI Farmasi, bagi memperkukuh penglibatan bumiputera dalam sektor perubatan dan keusahawanan.
- Cadangan ini disokong oleh ekosistem pendidikan Mara yang lengkap, termasuk institusi seperti UniKL Royal College of Medicine Perak dan program pembiayaan pelajar.
- Melalui inisiatif -Ekosistem Mara 2.0-, Mara mahu mengumpulkan pelajar, alumni, usahawan dan pelabur bumiputera untuk memperkukuh Agenda 3P: Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.
Beliau berkata Mara mempunyai kelebihan dari segi ekosistem lengkap merangkumi pendidikan seperti UniKL Royal College of Medicine Perak di Ipoh yang menawarkan kursus perubatan dan farmasi serta program pembiayaan pelajar ke luar dan dalam negara.
Asyraf Wajdi berkata Mara berhasrat mengumpulkan semua lapisan pelajar, alumni, pengusaha dan pelabur dalam satu ekosistem strategik yang dinamakan "Ekosistem Mara 2.0".
"Sudah tiba masanya kita kumpulkan mereka yang pernah menerima manfaat daripada Mara dalam satu jaringan usahawan dan pelaburan bumiputera menyeluruh.
"Pencapaian bumiputera harus diukur melalui Agenda 3P, iaitu Penyertaan dengan memastikan lebih ramai bumiputera terlibat dalam sektor strategik.
"Kedua adalah Pemilikan dengan meningkatkan hak milik aset, syarikat dan perniagaan dalam kalangan bumiputera. Ketiga adalah Penguasaan dengan menjadikan bumiputera sebagai pemain dominan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi seperti perubatan dan teknologi.
"Kita tidak boleh hanya bangga dengan berapa ramai doktor kita hasilkan. Kita mesti ukur berapa ramai doktor kita boleh jadi usahawan, dan seterusnya jadi pengeluar dan pembekal," katanya.
Beliau berkata Mara perlu bergerak sebagai konglomerat besar dengan penyelarasan menyeluruh dalam aspek pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami