KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menyediakan pembiayaan pendidikan kepada anak dan cucu peneroka Felda bagi tujuan melanjutkan pengajian ke luar negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, inisiatif itu sebahagian daripada usaha memperkasa komuniti Felda yang kini sudah memasuki generasi kelima.

"kita telah bersetuju untuk memberikan pembiayaan pada pelajar-pelajar yang terdiri daripada anak cucu peneroka Felda  untuk belajar di luar negara.

"Kami akan menggunakan peruntukan pembiayaan Mara dan juga pinjaman Mara untuk menghantar pelajar-pelajar daripada Felda ke luar negara," katanya.

Beliau yang juga  Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian selepas Mesyuarat Koordinasi Bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Felda di Ibu Pejabat Felda hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bahawa KKDW bersetuju untuk melaksanakan kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dikendalikan Felda.

Katanya pelaksanaan kursus itu diberi tumpuan kepada generasi keempat dan kelima Felda dengan kandungan silibus yang mengikut kehendak pasaran.

"Kami setuju untuk mengendalikan kursus yang dikendalikan oleh Felda... kursus TVET. Kami nak beri perhatian kepada generasi Felda terutama generasi keempat dan kelima untuk bersama-sama menjalinkan kerjasama menerusi kursus-kursus mengikut kehendak pasaran," katanya.

Selain itu, Zahid berkata terdapat beberapa penambahbaikan Felda sedang dirangka namun beliau perlu untuk menunggu keputusan dan peruntukan dariada Kabinet.

"Begitu juga naik taraf dan pembaikian infrastruktur umpamanya... ini juga saya akan dapat keputusan daripada Kabinet, kerana peruntukan sedia ada di bawah KKDW dapat digunakan sebahagiannya bagi membantu infrastruktur di Felda," tambahnya.