Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneliti syarat kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi 2017.

MARA dalam kenyataan pada Jumaat berkata pihaknya akan mengeluarkan pengumuman rasmi berkenaan syarat tersebut selepas perkara itu dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, perkara tersebut dibuat susulan daripada pengumuman keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Khamis lalu yang merekodkan keputusan kurang memberangsangkan.

Sementara itu, sebanyak 7,500 tempat disediakan di 48 buah MRSM seluruh Malaysia bagi kemasukan pelajar baharu Tingkatan Satu untuk sesi tahun depan.

"Syarat utama kelayakan kemasukan ini adalah mendapat keputusan 6A pada peperiksaan UPSR dengan keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga yang berpendapatan rendah," katanya.

Permohonan kemasukan ke MRSM secara atas talian turut dibuka semula selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 Nov untuk memberi laluan kepada permohonan baharu dan mengemas kini maklumat.