KUALA LUMPUR: MARii Tracker, yang dibangunkan secara tempatan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan mula digunakan di institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) untuk membendung penularan COVID-19.

"MARii Tracker adalah penyelesaian lengkap untuk pengesanan kontak, pematuhan penjarakan sosial dan pengesanan lokasi untuk memastikan kesinambungan latihan kemahiran dalam institusi JTM.

"Ia adalah peranti yang mengesan pergerakan individu di dalam premis perniagaan dan menyimpan maklumat kontak rapat, rekod pekerja, maklumat rantaian bekalan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) perniagaan, semuanya dalam masa sebenar dan dalam talian," menurut MARii dalam kenyataan.

Semasa pelancaran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, KSM mendedahkan JTM merupakan institusi pendidikan pertama menggunakan tracker itu untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pelatihnya.

"Kami gembira bahawa teknologi yang dibangunkan oleh MARii untuk sektor pembuatan telah dikenal pasti dan digunakan oleh sektor pendidikan, khususnya latihan kemahiran yang sangat sukar untuk dilatih menggunakan kaedah dalam talian.

"Teknologi ini menggabungkan teknologi fizikal dan digital untuk memastikan bahawa aktiviti yang memerlukan kehadiran di lokasi dapat diteruskan dalam norma baharu ketika kita bergerak ke tahap endemik COVID-19," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii Datuk Mohamad Madani Sahari dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya percaya MARii Tracker dapat memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa pelatih dan pelajar bahawa anak-anak mereka berada dalam persekitaran yang selamat dan terurus yang akan membantu mencegah wabak selanjutnya.

Peranti Tracker dipakai oleh individu di dalam premis, akan mengeluarkan bunyi penggera bagi memaklumkan bahawa dua atau lebih peranti berada kurang dari satu (1) meter antara satu sama lain, yang menandakan SOP tidak dipatuhi. Data ini akan direkodkan di dalam sistem pentadbiran bagi tujuan simpanan, analisis dan sebarang tindakan pembetulan.

Sekiranya terdapat pekerja yang disahkan dijangkiti virus, pentadbir boleh mengesan dan mengenal pasti kawasan yang terdedah kepada jangkitan melalui sistem pemuka (dashboard) MARii Tracker. Ini memudahkan pengesanan dan pengasingan kontak rapat individu yang dijangkiti, dan pada masa yang sama, ia membenarkan individu yang tidak terkesan meneruskan kerja seperti biasa, tanpa risiko.

Ini menjadikan MARii Tracker sangat sesuai untuk pematuhan SOP di premis seperti sekolah dan institusi latihan yang memerlukan sejumlah besar individu hadir di lokasi.

-- BERNAMA