MALAYSIA
Maritim Malaysia terima kapal Ex- USCG Cutter Steadfast

Penerimaan Cutter Steadfast adalah simbol kerjasama erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat, dan akan memperluaskan peluang dalam aspek latihan, pertukaran teknikal serta pembangunan kapasiti. - Gambar Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar satu lagi sejarah baharu apabila menerima secara rasmi kapal Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast dalam satu majlis penuh istiadat di Wheaton O’Thorp Center (WOTC), Amerika Syarikat, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Pegawai Perolehan merangkap Pengarah Perkhidmatan Domain dan Integrasi USCG, James Knight berkata, kapal tersebut mula ditauliahkan pada tahun 1968 dan telah berkhidmat dengan cemerlang lebih setengah abad.
“Kapal Cutter Steadfast ini telah menabur bakti selama 56 tahun kepada USCG. Kini, kami percaya aset ini akan terus memberi sumbangan penting kepada Maritim Malaysia dalam memperkukuh keselamatan maritim negara.
‘Penyerahan ini bukan sekadar pemindahan aset, tetapi juga mencerminkan hubungan strategik yang kukuh antara Amerika Syarikat dan Malaysia, khususnya dalam bidang keselamatan maritim dan perkongsian kepakaran teknikal," katanya.Berkata demikian di majlis menandatangani Certificate of Transfer dan penyerahan kapal berkenaan kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah di Baltimore pada Sabtu.
Penyerahan rasmi itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Pengarah Bahagian Risikan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman serta Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, penyerahan berkenaan bukan sekadar pemindahan aset, tetapi juga mencerminkan hubungan strategik yang kukuh antara Amerika Syarikat dan Malaysia, khususnya dalam bidang keselamatan maritim dan perkongsian kepakaran teknikal.
Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli, menzahirkan penghargaan atas sokongan USCG serta dedikasi kru Malaysia yang berjaya menamatkan latihan intensif selama tujuh minggu sebelum penyerahan rasmi ini.
Beliau berkata, penerimaan Cutter Steadfast adalah simbol kerjasama erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat dan akan memperluaskan peluang dalam aspek latihan, pertukaran teknikal serta pembangunan kapasiti.
“Lebih istimewa, kapal ini bakal memulakan pelayaran pertamanya dengan kru baharu merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi – pelayaran paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia,” ujarnya.
Seramai 50 kru, terdiri daripada sembilan pegawai dan 41 anggota Maritim Malaysia, turut diraikan selepas berjaya menamatkan latihan pengoperasian kapal kelas 210’ Reliance Class Medium Endurance itu dengan penuh komitmen dan disiplin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami