MALAYSIA
Mas Zhiddin Zhiddan dilantik sebagai Duta Perpaduan Rumpun Selangor

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyempurnakan watikah pelantikan kepada Mas Zhiddin sebagai Duta Perpaduan Rumpun Selangor - Foto Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor melantik Mas Zhiddin Zhiddan Abdul Aziz sebagai Duta Perpaduan Rumpun Selangor sempena Majlis Perasmian Ekspo Kemerdekaan Kampung Tradisi Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di Shah Alam pada 31 Ogos lalu.
Menurut Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail, watikah pelantikan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Katanya, pemilihan Mas Zhiddin, 22, bertepatan dengan imej positif dan peranannya sebagai pempengaruh yang aktif memartabatkan kesusasteraan Bahasa Melayu menerusi kandungan video pendek di media sosial.
"Pelaksanaan Program Duta Perpaduan Rumpun Selangor oleh Jawatankuasa Tetap Perpaduan Nasional Negeri Selangor adalah bertujuan memanfaatkan jangkauan pempengaruh dalam kalangan anak muda kelahiran Selangor untuk menyebar luas mesej perpaduan melalui penceritaan yang unik kepada masyarakat di negeri ini, khususnya golongan belia dan orang muda," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.Tambah Rizam, Kerajaan Negeri Selangor berharap pelantikan tersebut akan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian kaum, serta membawa mesej muhibah ke seluruh pelosok Selangor melalui pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan hati anak muda.
"Besarlah harapan Kerajaan Negeri agar Mas Zhiddin dapat membantu dalam penyampaian mesej perpaduan kepada warga Rumpun Selangor.
"Ini demi memupuk dan menyemarakkan semangat cintakan perpaduan dan keharmonian antara kaum di negeri ini," katanya.
Mas Zhiddin merupakan anak kepada bekas personaliti televisyen ternama, Allahyarham Aziz Desa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami