SEREMBAN: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Khamis menyeru semua pihak untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik, dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Menegaskan masa berpolitik telah tamat selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu lepas, beliau berkata, semangat cintakan negara tidak boleh hanya timbul sewaktu sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang semata.

"Kita baru sahaja selesai PRN termasuk di Negeri Sembilan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah ingatkan bahawa (masa untuk) berpolitik selesai, dan marilah kembali bersama sebagai sebuah negara maju ke depan.

"Saya harap lebih ramai mengibarkan Jalur Gemilang...dulu angkat bendera parti, sekarang bendera Malaysia," katanya ketika berucap melancarkan Semarak Gemilang Malaysia MADANI OHMYDIN! Meriah Bersama, sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Ulang Tahun MYDIN ke-66, di sini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Ameer Ali Mydin.

Fahmi berkata, rakyat Malaysia di pelbagai peringkat umur terutama kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan, juga perlu sentiasa dipahatkan dengan rasa cinta kepada negara.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan semua pihak termasuk syarikat untuk bersama-sama dengan kerajaan, melaksanakan program yang mampu meningkatkan rasa cinta kepada negara, sekali gus menyuburkan semangat Malaysia MADANI dalam kalangan rakyat.

"Peluang kerjasama strategik seperti yang terjalin hari ini, perlulah diteruskan pada masa akan datang dengan menerokai peluang dan pendekatan program yang lebih pelbagai. Pendekatan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di kompleks beli-belah perlu dipergiat.

"Semua pihak harus menyedari bahawa selain berkeupayaan menjentik rasa cinta terhadap tanah air melalui aktiviti santai yang dijalankan, peluang dan program yang dilaksanakan juga berupaya untuk menjana ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA