KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk Malaysia menggubal undang-undang khusus mengenai pengurusan sisa makanan kerana ia akan menunjukkan komitmen negara dalam menangani masalah global yang kritikal itu, kata Ratu Bumi Malaysia 2022 Dr Kajel Kaur Gill.

Dr Kajel Kaur berkata undang-undang baharu mengenai pengurusan lebihan makanan telah lama terhenti di Malaysia dan berharap kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan segala usaha yang diperlukan untuk menggubal undang-undang bagi menggalakkan amalan mampan rantaian bekalan makanan.

"Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanan yang lazat dan tanpa disedari, kita membuang makanan yang boleh dimakan sehingga menyumbang kepada pembaziran makanan.

"Justeru, satu-satunya cara untuk menghentikan tabiat membazir makanan dalam kalangan masyarakat adalah dengan melaksanakan undang-undang berkesan yang boleh menggalakkan amalan mampan.

"Menggubal undang-undang mengenai sisa makanan di Malaysia akan menyediakan rangka kerja yang komprehensif dalam menangani cabaran alam sekitar, sosial dan ekonomi," katanya sambil menambah bahawa ia juga selaras dengan komitmen negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), termasuk SDG 12, yang memberi tumpuan kepada penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab.

Dr Kajel memberitahu Bernama semasa sidang media yang diadakan baru-baru ini bagi mengumumkan perkembangan pertandingan ratu cantik 'Ratu Bumi Malaysia 2023'.

Turut hadir ialah pengarah kebangsaan pertandingan itu, Joshua Benedict.

Sebagai permulaan, katanya, restoran di Malaysia boleh meletakkan papan tanda seperti 'makan apa yang anda boleh' atau 'jangan terlalu teruja dengan hidangan' sebagai langkah bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang sisa makanan.

Perancis menerima pakai undang-undang untuk menangani sisa makanan 2016 dan ia didapati berkesan, katanya.

Sementara itu, Dr Kajel Kaur, yang merupakan pemegang lesen pertandingan ratu cantik Ratu Bumi Malaysia 2023, berkata pertandingan ratu cantik Ratu Bumi Malaysia 2023 akan diadakan pada Ogos tahun ini dengan pemenang akan mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik antarabangsa yang akan diadakan di Vietnam pada akhir tahun.

Pencinta haiwan kelahiran Ipoh itu mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan yang digelar 'No Strays On Streets' bagi memastikan haiwan terbiar diberi makan, diberi vaksin, diselamatkan, dikebiri dan memiliki tempat tinggal.

-- BERNAMA