SHAH ALAM : Lebih dua minggu Sekatan Pergerakan Penuh dikuatkuasakan, masih ada kilang yang berdegil dan beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bahkan, ada yang mendaftarkan operasi kilang dalam senarai perkhidmatan perlu sedangkan mereka menghasilkan barangan untuk rokok yang tidak termasuk dalam senarai tersebut.

Demikian antara kesalahan dikesan sepanjang dua minggu lepas dalam operasi dilakukan pihak berkuasa di kawasan kilang sekitar Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, setakat ini 44 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan kompaun berjumlah lebih RM140,000.

BACA: Tiada lagi amaran, kilang langgar SOP PKP akan dikompaun terus - Hamzah Zainudin

“IPD Shah Alam bersama lain-lain agensi telah melakukan operasi ke atas 82 kilang sehingga semalam. Daripada 82 kilang itu, jumlah kompaun dikeluarkan untuk sektor perkilangan adalah sebanyak 44 kompaun

“Sebanyak 14 di antara kompaun itu dikenakan ke atas majikan. Daripada 14 kilang yang kita kompaun, sembilan beroperasi tanpa surat MITI, tiga gagal mematuhi kapasitas jumlah pekerja.

BACA: Kilang degil tidak akan terlepas, penguat kuasa MITI beroperasi 24 jam

“Kesalahan paling besar tiada surat MITI. Ada juga yang ada surat MITI tapi buat benda lain. Contohnya, diberi kebenaran untuk buat makanan tapi buat bahan lain, buat keperluan rokok, bukan makanan tapi buat lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah kilang di Kota Kemuning, di sini pada Jumaat.

Tambah Baharudin, memandangkan masih ada yang berdegil, pihaknya akan terus melakukan operasi tersebut dari semasa ke semasa.

“Kami akan teruskan lagi operasi ini secara berterusan. Kami tidak akan berkompromi, dan kami ambil serius perkata ini.

“PDRM berharap semua sektor perkilangan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” ujarnya.

Mengulas kompaun kepada pekerja, beliau berkata kebanyakannya adalah disebabkan tiada penjarakan fizikal diamalkan ketika sedang bertugas.