KUALA LUMPUR:Seramai 789 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 764 dikompaun dikeluarkan, 21 individu direman dan empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Mendahului senarai kesalahan adalah gagal mengenakan pelitup muka dan cubaan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran.

"Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (191), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (160), tiada penjarakan fizikal (110), gagal menyediakan peralatan atau merekod diri serta pelanggan (128), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (41), keluar rumah tanpa alasan munasabah (23) dan lain-lain (136)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi Op Benteng, Ismail berkata pihaknya telah menangkap 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) selain merampas empat kenderaan darat.

Berkaitan saringan pekerja asing, Ismail berkata seramai 7,003 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 28 orang disahkan positif COVID-19.

Secara kumulatif, sejak 1 Disember 2020, seramai 312,623 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19, dengan 6,093 orang telah disahkan positif.