Sambutan Hari Wilayah Persekutuan diraikan pada 1 Feb setiap tahun, namun tahukah anda mengapa Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya digelar Wilayah Persekutuan?

Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Feb 1974 apabila Kuala Lumpur yang dahulunya, sebahagian daripada Selangor diserahkan oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kepada kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu negara dan ditadbir secara langsung.

Labuan pula diangkat menjadi Wilayah Persekutuan kedua pada 1984 diikuti Putrajaya pada 2001.

Ketiga-tiga wilayah ini dikawal selia Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan setiap wilayah ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan (Labuan) dan Perbadanan Putrajaya (Putrajaya).

Di bawah seliaan KWP, pelbagai pembangunan dan kemodenan melibatkan infrustruktur dan prasarana dapat dinikmati warga Wilayah Persekutuan.

Profesor Dr Zaid Ahmad dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata masih ramai yang tidak faham tentang kepentingan ketiga-tiga wilayah ini diangkat sebagai Wilayah Persekutuan.

" ... bila (wilayah) diserah kepada kerajaan (pusat) itu ertinya proses pembangunan lebih mudah dan lancar," katanya kepada Bernama.

Zaid berkata penyatuan tiga wilayah itu juga dilihat penting dalam merangsang perpaduan dan pertumbuhan ekonomi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Namun, katanya masih ramai juga dilihat kurang memiliki rasa kekitaan dan berbangga menjadi warga Wilayah Persekutuan walaupun sambutan hari bersejarah itu telah memasuki tahun ke-16.

"Di Wilayah Persekutuan terutamanya Kuala Lumpur dan Putrajaya, kebanyakannya adalah mereka yang migrasi, bukan lahir dan membesar di situ, bukan tempat 'tumpah darah' mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata fenomena itu boleh diubah dengan menanam semangat patriotism dalam diri generasi zaman kini bermula sejak prasekolah.

"Generasi kini yang lahir dan tinggal di Wilayah Persekutuan ini perlu dididik dan diperkenalkan dengan memiliki rasa sayangkan Wilayah Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berharap 29 program yang diatur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 akan terus menjadi penggerak utama bagi agenda memperkasa perpaduan dalam pelbagai lapisan masyarakat majmuk khususnya di Wilayah Persekutuan.

"Kita kena ingat Wilayah Persekutuan bila ditubuhkan, dimasukkan juga Labuan kerana kita nak jadikan platform penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Semenanjung dan Borneo.

"Ini merupakan usaha berskala kecil untuk mewujudkan perasaan kesatuan kekitaan, dan kesamaan. Sayangi Wilayahku yang dipilih tahun ini merupakan tema yang berterusan sehingga kita merasakan perasaan kesatuan itu benar-benar tercapai," katanya.

Khalid juga menyeru semua warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama berganding bahu dalam menjadikan wilayah tersebut lebih maju dan lestari untuk dihuni.

-- BERNAMA